KUCHING: Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, mahu meneruskan usaha menangani isu banjir, tekanan air rendah dan kesesakan lalu lintas yang masih menjadi antara keperluan utama penduduk kawasan itu sekiranya diberi mandat untuk penggal kedua.
Beliau menjelaskan, sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat Stakan, tumpuannya lebih terarah kepada penambahbaikan infrastruktur, khususnya di kawasan kampung dan perumahan yang berdepan pelbagai masalah kemudahan asas.
Tambahnya, antara isu yang sering dibangkitkan penduduk ialah sistem perparitan tidak memuaskan sehingga menyebabkan banjir selain tekanan bekalan air yang rendah di beberapa kawasan serta isu kesesakan lalu lintas yang sebelum ini ketara di kawasan Samarahan juga menunjukkan perkembangan positif susulan pembinaan beberapa jalan alternatif menerusi perancangan kerajaan.
“Alhamdulillah, dengan perancangan yang cukup teratur oleh pihak kerajaan menerusi penambahan jalan alternatif di kawasan Samarahan, perkara ini sedikit banyak mula dapat diatasi.
“Insya-Allah, saya yakin isu banjir, tekanan air dan kesesakan lalu lintas yang saya sebutkan tadi dapat diatasi oleh kerajaan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 82 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Pengerusi GPS, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.
Hamzah yang dinamakan semula sebagai calon GPS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 berkata, beliau bersyukur atas kepercayaan pucuk pimpinan parti untuk terus mewakili kawasan itu.
Jelasnya, peluang berkenaan akan digunakan untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak yang dirancang di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk memastikan kawasan Stakan turut menerima manfaat daripada transformasi pembangunan negeri.
Mengulas kemungkinan berdepan pencabar pada pilihan raya kali ini, Hamzah menegaskan, beliau menyerahkan perkara itu kepada proses demokrasi dan menghormati hak mana-mana individu atau parti untuk bertanding.
Bagaimanapun, beliau berharap persaingan berlangsung secara sihat tanpa menyentuh isu peribadi, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kepentingan penduduk Stakan.
Pada PRU Sarawak 2021, Hamzah memenangi kerusi DUN Stakan dengan memperoleh 7,854 undi dan majoriti 5,807 undi, menewaskan tiga pencabar daripada PSB, DAP dan PBK.

