KUCHING: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus menggunakan tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Hasrat itu dinyatakan menerusi hantaran Facebook beliau hari ini, sekali gus memberi gambaran perancangannya untuk kembali bertanding di peringkat negeri selepas sebelum ini memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen Julau.
“Kali ini saya akan bertanding di DUN Pelagus atas tiket PBM.
“Saya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Julau, sebaliknya langkah ini adalah sebagai tambahan tugas dan tanggungjawab saya,” katanya.
Untuk rekod, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini mengumumkan calon muka baharu Cerisologo Sabut bagi kerusi DUN Pelagus pada PRU Sarawak ke-13 kali ini, menggantikan penyandang Wilson Nyabong Ijang.
Cerisologo, 58, yang mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS), mempunyai pengalaman selama 33 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk enam tahun setengah sebagai Pegawai Daerah Kapit.
Manakala Larry mula dipilih sebagai ADUN Pelagus pada PRN 2001 atas tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum mempertahankan kerusi itu pada PRN 2006 menerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Bagaimanapun, beliau tidak disenaraikan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN 2011, sebelum Pelagus dimenangi calon Bebas, George Lagong.
Kerusi itu kemudian dimenangi Wilson Nyabong Ijang pada PRN 2016 dan dipertahankannya pada PRN 2021 atas tiket GPS dengan majoriti 1,049 undi selepas memperoleh 2,843 undi, menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Kristoffer Nyuak Bajok.
Larry pula kini merupakan Ahli Parlimen Julau yang dimenanginya sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Beliau kini disenaraikan sebagai wakil rakyat Parti Bangsa Malaysia (PBM) di Dewan Rakyat.

