ARTIKEL

Sambungan Jalan Igan-Sibu Bakal Pacu Ekonomi Kawasan Pesisir


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Baki sambungan jalan sepanjang 16 kilometer antara Jambatan Igan dengan Bulatan Sungai Bidut di Sibu terus diperjuangkan bagi melengkapkan jaringan jalan pesisir yang bakal memendekkan perjalanan dari Igan ke Sibu kepada kurang sejam.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, apabila keseluruhan laluan berkenaan siap, jarak perjalanan dari Jambatan Igan ke Sibu dianggarkan hanya 69 kilometer, sekali gus membuka peluang ekonomi dan meningkatkan kemudahan perhubungan masyarakat pesisir.

“Laluan itu turut berpotensi menjadi penghubung penting bagi penduduk Mukah dan Daro yang mahu ke Sibu, selain memudahkan pengangkutan hasil pertanian serta pergerakan penduduk antara kawasan luar bandar dengan pusat bandar.

“Ini akan menjadi pemangkin perubahan utama bagi kawasan pesisir Melanau kerana perjalanan dari Igan ke Sibu dijangka mengambil masa kurang daripada sejam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), di sini, hari ini.

Tambahnya, pembangunan jaringan jalan raya berkenaan dijangka mengubah corak kegiatan ekonomi masyarakat, khususnya dengan pembukaan kawasan baharu untuk pertanian, perniagaan dan penempatan penduduk.

Sementara itu, beliau berkata, hampir keseluruhan kawasan perkampungan di Jemoreng kini mempunyai kemudahan jalan raya atau sedang menerima projek pembinaan yang telah diluluskan kerajaan.

“Setakat perancangan sedia ada, hampir semua kawasan sudah mempunyai projek jalan raya yang diluluskan. Yang terakhir ialah jalan dari Seberang Pasar Matu ke Kampung Bertong.

“Kita juga sudah mendapat kelulusan bagi jalan alternatif ke kawasan sekolah di Igan. Selain menjadi laluan tambahan, jalan tersebut akan membuka kawasan baharu untuk penduduk membina rumah,” ujarnya.

Projek Jalan Seberang Pasar Matu bernilai RM19 juta yang bermula pada 20 Oktober lalu dijadualkan siap pada April 2028, melibatkan pembinaan jalan utama sepanjang 1.776 kilometer serta beberapa kemudahan sokongan.

Dalam pada itu, Juanda yang dikekalkan sebagai calon GPS bagi DUN Jemoreng berkata, pendekatan bersemuka dan pertemuan dalam kumpulan kecil akan terus menjadi keutamaannya bagi memahami masalah serta keperluan penduduk.

“Kita membawa tema perpaduan di peringkat akar umbi. Mereka yang menyokong kita akan dijaga, begitu juga mereka yang tidak menyokong, kita tetap akan bertemu dan menjaga kebajikan mereka.

“Pendekatan kita ialah menziarahi kampung dan rumah penduduk dalam kumpulan kecil kerana cara ini lebih berkesan untuk mendengar sendiri permasalahan rakyat,” katanya.

BERITA LAIN

Larry Sng nyatakan hasrat bertanding di Pelagus

KUCHING: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus menggunakan tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM)

BERITA TERBARU

Larry Sng nyatakan hasrat bertanding di Pelagus

KUCHING: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus menggunakan tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM)