KUCHING: Peluang keusahawanan untuk golongan muda dan kemudahan masyarakat menjadi antara keutamaan Datuk Ibrahim Baki dalam perancangan pembangunan kawasan Satok sekiranya terus diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berhasrat mewujudkan pusat ekonomi digital dan permulaan perniagaan (start-up centre) bagi membantu golongan belia mengembangkan perniagaan.
Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) berkata, pusat berkenaan akan menyediakan ruang pejabat serta kemudahan kepada usahawan muda untuk memulakan perniagaan, khususnya dalam sektor ekonomi digital.
“Kemudahan ini akan menjadi pusat kegiatan perniagaan yang membolehkan golongan muda mendapatkan ruang dan sokongan untuk mengembangkan idea serta perusahaan masing-masing.
“Usaha ini boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
“Selain memperluas peluang ekonomi, saya mahu memastikan setiap kampung mempunyai dewan masyarakat sebagai tempat penduduk berkumpul dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 82 calon GPS oleh Pengerusi GPS, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.
Tambah Ibrahim, kemudahan itu penting untuk mengekalkan budaya dan tradisi masyarakat, selain menggalakkan hubungan kejiranan serta interaksi antara penduduk.
Selain itu, beliau memberitahu, pembinaan dewan masyarakat akan diberi perhatian di kampung yang belum mempunyai kemudahan berkenaan, sekiranya terdapat tanah yang sesuai.
“Kalau ada kampung yang belum mempunyai dewan masyarakat dan terdapat tanah yang sesuai, insya-Allah kita akan membina dewan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ibrahim menegaskan keperluan dan kesejahteraan rakyat setempat perlu terus dijaga seiring pelaksanaan projek pembangunan berskala besar yang dirancang di kawasan berkenaan.
Antara projek yang disebut beliau ialah pembangunan kawasan tebingan sungai sepanjang 4.8 kilometer selain usaha memastikan manfaat pembangunan turut dirasai penduduk setempat.
Ibrahim merupakan calon GPS bagi mempertahankan kerusi DUN N.08 Satok pada PRU Sarawak Ke-13.

