KUCHING: Penyertaan calon kerusi Batu Lintang dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini mampu memperkukuh peluang mempertahankan kawasan itu, sekali gus membuka ruang untuk memberikan perkhidmatan lebih berkesan kepada penduduk.
See Chee How berkata, penyertaannya dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memberikan kelebihan melalui sokongan pasukan yang kukuh di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Dengan menyertai GPS, kita mempunyai pasukan yang kuat dan saya yakin dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk masyarakat Batu Lintang. Pengundi juga perlu melihat apa-apa yang mampu kita lakukan untuk mereka.
“Malah, berdasarkan rekod perkhidmatan selama ini, saya percaya dapat terus memperoleh kepercayaan penduduk, khususnya dengan sokongan GPS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau yang mempertahankan Batu Lintang selama tiga penggal sejak 2011 diumumkan sebagai calon GPS selepas keahliannya dalam SUPP diluluskan, sekali gus menyaksikan beliau buat pertama kali bertanding menggunakan lambang gabungan berkenaan.
Mengulas kemungkinan perubahan sokongan pengundi susulan peralihan politiknya, beliau berkata, kepercayaan masyarakat terhadap beliau selama ini tidak hanya bergantung kepada parti yang diwakili, sebaliknya turut mengambil kira rekod perkhidmatan dan keupayaannya menyelesaikan masalah setempat.
Bagi PRU Sarawak Ke-13, beliau bakal berdepan saingan sengit daripada Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang diumumkan sebagai calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Batu Lintang pada 22 November lalu.
Pada PRU Sarawak Ke-12 pada 2021, See mempertahankan Batu Lintang atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan majoriti tipis 93 undi menewaskan calon GPS daripada SUPP, Sih Hua Tong.

