ARTIKEL

Iskandar Turkee kekal calon kerusi DUN N.67 Jepak.

Iskandar Turkee Sedia Teruskan Khidmat di Jepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pencalonan semula Iskandar Turkee sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 merupakan amanah besar yang akan digalas dengan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kepimpinan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu bukan sekadar satu penghormatan, malah tanggungjawab besar untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

“Pencalonan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi merupakan tanggungjawab besar yang harus dipikul dengan penuh keikhlasan, kesungguhan dan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar yang berasal dari Kampung Sebiew, Jepak, mempunyai latar belakang dalam perkhidmatan awam apabila pernah berkhidmat sebagai Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak selama kira-kira 15 tahun sebelum menceburi bidang politik.

Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diperoleh pada 2008.

Pengalaman dalam bidang pembangunan sosial dan usaha menangani isu penyalahgunaan dadah menjadi antara latar belakang kerjaya yang dibawanya ketika memasuki arena politik pada 2023.

Dalam perkembangan politiknya, Iskandar dipilih sebagai calon GPS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak yang diadakan pada 4 November 2023 susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.

Beliau memenangi PRK berkenaan dengan memperoleh 9,638 undi dan majoriti 8,784 undi, sekali gus mengekalkan penguasaan GPS di kawasan DUN Jepak.

Selepas memasuki arena politik, beliau turut memegang tanggungjawab sebagai Ketua PBB Cawangan Jepak selain berperanan sebagai wakil rakyat yang membawa isu dan keperluan masyarakat setempat.

Katanya, sokongan terhadap GPS penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari dalam meneruskan agenda pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan negeri.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat Jepak supaya terus menghayati semangat perjuangan ‘utamakan Sarawak’ sebagai asas perpaduan dan kebersamaan dalam menentukan hala tuju negeri.
Dalam pada itu, Iskandar menyeru seluruh warga DUN Jepak, khususnya pengundi, supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 12 Disember ini.

Menurutnya, kehadiran pengundi ke pusat mengundi merupakan manifestasi suara, harapan dan komitmen rakyat dalam menentukan masa depan Sarawak.

Beliau turut mengajak masyarakat memberikan mandat kepada GPS untuk meneruskan agenda pembangunan negeri, selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan kepercayaan kepadanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU