ARTIKEL

Abdul Karim.

Abdul Karim Bidas Pandangan Chong, Tidak Bertanding Juga Demokrasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 bukan bermakna demokrasi terjejas kerana setiap parti mempunyai hak menentukan pendirian politik masing-masing.

Ketua Penerangan GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang menyifatkan keputusan itu sebagai mengorbankan demokrasi negeri.

Tegasnya, demokrasi bukan hanya diukur melalui kewujudan pertandingan kerana keputusan untuk tidak meletakkan calon juga merupakan sebahagian daripada hak sesebuah parti.

“Sama ada kita hendak bertanding ataupun tidak, itu demokrasi. Tidak bertanding pun demokrasi juga, bertanding pun demokrasi juga.

“Apa haknya untuk mengatakan setiap pilihan raya mesti ada pertandingan, baharulah demokrasi berkembang?

“Jika rakyat berpuas hati dengan kerajaan sedia ada dan parti lain tidak mahu meletakkan calon, itu juga hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 82 calon GPS oleh Pengerusi GPS, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama Abdul Karim turut mempersoalkan tindakan DAP yang hanya membangkitkan keputusan PKR, sedangkan beberapa parti nasional lain termasuk UMNO (BN), Amanah dan Bersatu turut mengambil pendirian tidak bertanding.

Tambahnya, keputusan parti-parti berkenaan dihargai kerana menunjukkan pemahaman pendekatan politik di Sarawak.

Jelas beliau lagi, parti politik tidak seharusnya menjadi lawan di Sarawak tetapi kembali menjadi rakan apabila berada di peringkat Persekutuan.

Mengulas hubungan DAP dengan GPS, beliau berkata, DAP dilihat mahu bekerjasama dengan GPS di peringkat Persekutuan, namun mengambil pendekatan berbeza di Sarawak.

“DAP di peringkat Persekutuan mahu berkawan dengan kita, tetapi di sini kita tidak dapat berkawan dengan mereka,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU