KUCHING: Kekangan bahasa yang boleh menyukarkan pekerja dan majikan memahami prosiding perburuhan kini diberi perhatian menerusi penggunaan teknologi terjemahan empat bahasa menerusi perkhidmatan Mahkamah Buruh Bergerak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kemudahan itu membolehkan pihak yang terlibat menggunakan bahasa yang lebih difahami ketika prosiding, sekali gus membantu mereka mengemukakan tuntutan dan mendapatkan penjelasan berhubung hak masing-masing.
Menurutnya, sistem berkenaan menyokong empat bahasa, termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan Cina, manakala bahasa keempat disebut sebagai bahasa India dalam penerangannya.

“Sistem ini secara ringkasnya menguruskan perbicaraan dengan memudahkan orang ramai menggunakan empat bahasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Mahkamah Buruh Bergerak JTK Sarawak, di sini, hari ini.
Azman menjelaskan bahawa teknologi tersebut membolehkan pertuturan dalam bahasa lain diterjemahkan kepada bahasa Melayu bagi melancarkan komunikasi serta memudahkan pengendalian kes.
Selain kemudahan terjemahan, katanya, sistem pengurusan kes yang digunakan turut menyediakan akses digital kepada rekod dan maklumat terdahulu bagi membolehkan pegawai pengendali prosiding membuat rujukan tanpa perlu kembali ke pejabat.
Beliau berkata, keupayaan itu dapat mengurangkan kebergantungan rujukan dokumen secara fizikal, sekali gus membantu memperkemas proses pengendalian tuntutan perburuhan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azman memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM5 juta bagi penyediaan lima kenderaan Mahkamah Buruh Bergerak di seluruh negara, merangkumi tiga di Semenanjung Malaysia serta masing-masing sebuah di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, penambahan kenderaan pada masa hadapan boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan bagi memperluas liputan perkhidmatan, khususnya kepada masyarakat yang tinggal jauh dari pusat pentadbiran.
Beliau berkata, operasi Mahkamah Buruh Bergerak di Sarawak bermula secara rasmi hari ini dengan dua kes dijadualkan untuk didengar, manakala pergerakan ke lokasi lain akan ditentukan berdasarkan jumlah tuntutan dan penyelarasan bersama pejabat JTK cawangan.
Azman turut menjelaskan bahawa inisiatif itu diperkenalkan bagi mengatasi cabaran geografi Sarawak yang luas, sekali gus mengurangkan keperluan pekerja dan majikan melakukan perjalanan jauh semata-mata untuk menghadiri prosiding.
Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan JTK Sarawak, Phang Pin berkata, perkhidmatan berkenaan akan dimulakan di Kuching sebelum diperluas secara berperingkat ke Samarahan, Serian dan kawasan lain mengikut keperluan, termasuk Lundu dan Sematan, bagi memudahkan penduduk menghadiri prosiding tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.
Menurutnya, kaedah pengendalian kes, dokumen dan prosedur perbicaraan kekal seperti Mahkamah Buruh sedia ada, namun lokasi prosiding boleh dipindahkan ke tempat yang lebih mudah diakses oleh pengadu dan majikan.
“Antara pertikaian yang boleh dibawa melalui saluran berkenaan termasuk tuntutan tunggakan gaji, kegagalan membayar gaji minimum dan bayaran kerja lebih masa, dengan matlamat memastikan hak pekerja dapat dituntut melalui proses yang lebih mudah diakses dan teratur,” katanya.


