KUCHING: Kembalinya Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen bertanding di Kota Sentosa tidak mengubah tumpuan penyandang kerusi itu, Wilfred Yap Yau Sin untuk meneruskan agenda pembangunan yang dimulakan sejak lima tahun lalu.
Wilfred yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Kota Sentosa berkata, beliau tidak mahu menilai kekuatan lawan, sebaliknya memberikan keutamaan kepada kesinambungan projek pembangunan yang masih dalam pelaksanaan bagi memastikan tidak ketinggalan daripada kemajuan.
“Saya rasa kita tidak perlu menilai pertandingan ini kerana Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah menjelaskan ini perjuangan GPS dan kami merupakan wakil di kawasan masing-masing.
“Kita mahu melaksanakan pembangunan di Kota Sentosa dan banyak perkara telah kita lakukan untuk memberikan yang terbaik untuk penduduk kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, di sini, hari ini.
Terdahulu, DAP mengumumkan Chong kembali bertanding di Kota Sentosa selepas berpindah ke Padungan pada pilihan raya 2021, manakala pembantunya, Michael Kong Feng Nian yang sebelum ini bertanding di Kota Sentosa, dicalonkan di Padungan.
Chong pernah mewakili Kota Sentosa selama tiga penggal berturut-turut sejak 2006 hingga 2016, sebelum GPS melalui Wilfred merampas kerusi itu daripada DAP pada 2021 dengan majoriti 1,683 undi.
Mengulas lanjut ujarnya, masih banyak projek pembangunan yang perlu disiapkan di kawasan tersebut, termasuk usaha menaik taraf kemudahan asas yang menurutnya tidak diberikan perhatian sewajarnya ketika kawasan itu berada di bawah pentadbiran wakil rakyat terdahulu.
“Terdapat tanggapan bahawa kawasan bandar seperti Kota Sentosa tidak memerlukan pembangunan. Sebenarnya kita juga memerlukan pembangunan kerana mahu menjadi sebahagian daripada kemajuan Sarawak,” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, perdebatan konsep semak dan imbang yang sering dibangkitkan DAP tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada keperluan pembangunan rakyat, khususnya usaha menyelesaikan masalah infrastruktur dan meningkatkan kemudahan awam.
“Semak dan imbang bukan bermaksud membantah semua perkara yang dilakukan kerajaan. Kita boleh mengemukakan idea alternatif dan cadangan yang baik, bukannya membantah semata-mata kerana mahu membantah.
“Kalau kita terus bertelagah dan bertengkar tanpa menyelesaikan masalah, akhirnya rakyat yang akan rugi. Yang penting kita bekerja bersama kerajaan supaya masalah di peringkat akar umbi dapat diselesaikan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menegaskan rakyat sendiri memainkan peranan penting dalam menilai prestasi wakil rakyat berdasarkan khidmat, kesungguhan turun padang dan keupayaan membawa pembangunan.
“Malah, kita mempunyai saluran dan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan media untuk melaporkan sebarang salah laku yang mempunyai bukti,” tegasnya.
DAP pada 22 November lalu mengumumkan Chong sebagai calonnya di Kota Sentosa, sekali gus membuka laluan kepada pertembungan semula dengan GPS yang mengekalkan Wilfred untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Pada PRU Sarawak Ke-12 pada 2021, Wilfred memenangi Kota Sentosa dengan majoriti 1,683 undi selepas memperoleh 5,806 undi berbanding 4,123 undi yang diraih calon DAP ketika itu, Michael Kong Feng Nian.


