KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyasarkan kemenangan di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, dengan setiap calon diingatkan supaya menjaga nama baik gabungan terutama sepanjang kempen pilihan raya.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semua calon perlu menjaga disiplin, tidak menabur janji berlebihan serta mematuhi peraturan pilihan raya bagi memastikan kepercayaan yang diberikan kepada mereka tidak disalahgunakan.
Beliau yang juga Pengerusi GPS menegaskan, watikah pencalonan yang diberikan merupakan satu amanah besar dan setiap calon perlu bekerja keras serta memahami tanggungjawab masing-masing dalam membawa nama gabungan berkenaan.
“Kalau boleh, kita mahu memenangi kesemua 82 kerusi. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon GPS.
“Amanah yang diberikan kepada anda perlu dilaksanakan dengan kerja keras. Pesanan saya, ada perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila menjadi calon.
“Anda jadi pengantin sahaja, jangan terlalu banyak berjanji. Biar orang lain bercakap dahulu, selepas itu baharulah anda boleh bercakap,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS bagi PRU Sarawak Ke-13, di sini, hari ini.
Menurutnya, semua calon perlu berhati-hati sepanjang tempoh pilihan raya, khususnya dalam menguruskan kempen dan memastikan setiap tindakan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Hari ini kita menyerahkan watikah yang memberikan kebenaran kepada anda untuk menggunakan lambang GPS pada hari penamaan calon 28 November ini.
“Perkara kedua, jagalah proses pilihan raya anda. Bagi mereka yang menjadi calon baharu, nanti akan ada pihak berkaitan memberikan maklumat dan panduan kepada anda,” jelasnya.
Sehubungan itu, perhatian khusus akan diberikan kepada 11 muka baharu GPS bagi memastikan mereka memahami proses pilihan raya, termasuk dalam pengurusan dan peraturan pencalonan.
“Calon yang pernah bertanding sebelum ini sudah mempunyai pengalaman dan mengetahui perkara yang perlu dilakukan.
“Tetapi bagi 11 muka baharu, saya rasa kita perlu mengadakan sesi penerangan khas urusan pilihan raya,” ujarnya.
Terdahulu, GPS mengumumkan senarai penuh 82 calon bagi menghadapi PRU Sarawak Ke-13 dengan menampilkan 11 muka baharu atau kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan calon yang akan bertanding.
Dalam masa yang sama, menyaksikan gabungan itu mengekalkan 71 calon selain mengetengahkan golongan profesional, wanita dan pemimpin muda.
Antara muka baharu ialah Wung Duk Ing bagi DUN Padungan, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (Muara Tuang), Yussuf Chik (Simunjan), Awang Nashfarini Awang Sarbini (Beting Maro), Leonard Libau Anol (Simanggang) dan Nor-E-Fadzwie Salleh (Kabong).
Turut disenaraikan ialah Alexander Donald (Ngemah), Kevin Lau Kor Jie (Bawang Assan), Cerisologo Sabut (Pelagus), Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu) dan Datu Jack Liam (Batu Danau).
Senarai calon kali ini turut menyaksikan Abang Johari mempertahankan kerusi DUN Gedong, manakala tiga Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian masing-masing dikekalkan di Bukit Saban, Bukit Sari dan Batu Kawah.
GPS turut menampilkan lima calon wanita berbanding empat pada pilihan raya lalu, selain mengekalkan barisan kepimpinan berpengalaman daripada empat parti komponennya iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRU Sarawak Ke-12 pada 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala empat kerusi dimenangi Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember depan.


