KUCHING: Rumah mampu milik yang dibangunkan di Sarawak perlu mengutamakan kualiti serta keselesaan keluarga, bukan sekadar memastikan kediaman itu boleh dibeli oleh rakyat.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) perlu memastikan rumah yang dibangunkan mempunyai persekitaran kondusif dan memenuhi keperluan asas sesebuah keluarga.
“Kalau boleh mesti buat sekurang-kurangnya rumah yang ada tiga bilik untuk sebuah keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan HDC di sebuah hotel di sini, pada Rabu (25 November).
Abang Johari berkata, keperluan ruang kediaman yang mencukupi penting bagi memastikan setiap anggota keluarga mempunyai ruang masing-masing, terutama apabila anak-anak semakin membesar.
Menurutnya, rumah yang terlalu kecil boleh menjejaskan keselesaan keluarga dan menyebabkan keadaan kediaman menjadi kurang sesuai untuk kehidupan seharian.
“Kalau dulu, reka bentuk rumah ada dua bilik jadi kalau ada anak lelaki dan perempuan perlu diasingkan, tidak boleh hanya mempunyai satu bilik.
“Jadi, sekurang-kurangnya kita kena bina rumah tiga bilik untuk sebuah keluarga,” katanya.
Beliau berkata, penyediaan rumah berkualiti dan selesa menjadi antara hala tuju kerajaan negeri dalam melaksanakan projek perumahan untuk rakyat.
Beliau berkata, rumah yang selesa bukan sahaja penting dari segi fizikal, malah turut mempengaruhi kesejahteraan dan keharmonian keluarga.
“Perumahan sangat penting untuk membina dan membentuk keluarga.
“Keluarga mesti gembira. Kalau keadaan rumah tidak kondusif, mereka akan mengalami tekanan,” katanya.
Abang Johari berkata, kediaman yang baik seharusnya menjadi tempat keluarga berehat dan menjalani kehidupan dengan tenteram selepas seharian bekerja.
Katanya, HDC perlu terus memperkukuh peranannya dalam membangunkan projek perumahan yang berkualiti demi masa depan keluarga di Sarawak.


