KUCHING: Aksi final Piala Premier Sarawak 2026 antara Kuching dengan Samarahan di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya Ahad ini dijangka menarik dan sengit.
Kedua-dua pasukan turun dengan satu misi mahu mencetak kemenangan untuk menjulang mahkota juara bagi edisi kedua kejohanan berprestij itu.
Jika finalis musim lepas, Samarahan tampil dengan fokus untuk cuba memenangi perlawanan tersebut, jiran tetangga, Kuching turut menyimpan keinginan sama.
Ketua jurulatih Kuching, Mohammad Dzulazlan Ibrahim mengakui segalanya bukan mudah untuk direalisasikan barisan pemainnya.
Menurut Dzulazlan, Samarahan bukan pasukan yang mudah untuk ditumpaskan.
Meskipun, aksi peringkat Zon Selatan, Liga Premier Sarawak 2026 sebelum ini Kuching berjaya menumpaskan Samarahan dengan jaringan 1-0, tegas Dzulazlan ia tidak boleh dijadikan ukuran serta penanda aras sebenar untuk mereka mengulangi rentak kemenangan pada perlawanan akhir nanti.
“Keputusan di peringkat zon sebelum ini berbeza.
“Walaupun kemenangan (1-0) berpihak kepada Kuching.
Situasi aksi final berbeza, keputusan sebaliknya boleh berlaku,” tambah Dzulazlan.
Dzulazlan menggesa pemainnya agar sentiasa berwaspada sepanjang saingan.
Menurutnya, sebarang kemungkinan boleh berlaku sepanjang tempoh 90 minit pada aksi final nanti.
“Saya percaya Samarahan akan tampil dengan corak permainan berbeza.
Namun, ironinya kami sudah cukup bersedia,” kata Dzulazlan.


