KUCHING: Himpunan Motosikal Bintangor (BBG) 2026 melabuhkan tirainya dengan sambutan menggalakkan apabila kehadiran pengunjung mencapai sasaran, katanya Pengerusi Pengelola Abang Husen Abang Yusuf.
Menurutnya, kejayaan program di Dewan Masyarakat Bintangor pada 22 November lalu membuktikan sokongan komuniti permotoran dengan usaha menyatukan peminat motosikal dari pelbagai daerah.

“Himpunan ini bukan sekadar pertemuan peminat motosikal, tetapi platform untuk menyatukan komuniti permotoran, mengeratkan hubungan persaudaraan, bertukar pengalaman dan membina jaringan persahabatan.

“Kita mungkin berbeza dari segi jenama motosikal, kapasiti enjin dan kelab, tetapi berkongsi minat serta kecintaan yang sama dalam dunia permotoran,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Husen menegaskan penganjuran tersebut bukan sahaja mengetengahkan kreativiti pengubahsuaian motosikal, malah bertujuan memupuk disiplin dan kesedaran keselamatan dalam komuniti permotoran.

“Kerjasama semua pihak menyumbang kepada kejayaan program berkenaan dan berharap himpunan itu dapat diteruskan dengan skala lebih besar pada masa hadapan.

“Saya ingin mengingatkan semua peserta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan sikap bertanggungjawab.
“Semangat persaudaraan juga perlu menjadi keutamaan dalam setiap aktiviti,” ujarnya.

Tambah Abang Husen, pertandingan pameran motosikal turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila peserta memperagakan kreativiti dan keunikan jentera masing-masing, khususnya 2TH Motorsport dari Betong dinobatkan pemenang anugerah Best of the Best Gathering.
Selain itu, antara peserta menyerlah ialah Khairudin Abdullah yang menjuarai kategori Skuter Standard Terbuka, selain meraih tempat kedua dan ketiga Skuter Modifikasi Terbuka menerusi dua jentera berbeza.
Khairudin turut mengungguli kategori khas NMAX/XMAX/NVX Terbaik, selain meraih tempat ketiga Pelekat Terbaik dan keempat Cat Terbaik, manakala Mohd Ifran Faeq menjuarai Kapcai Terbuka serta memenangi tempat kelima Pelekat Terbaik dan kelapan Persembahan Terbaik.
Sementara itu, Azmanizam Udin muncul juara Skuter Modifikasi Terbuka, selain menduduki tempat keenam kategori Motosikal Rendah Terbaik dan kelapan Persembahan Terbaik.
Chai Chein Yeit pula dinobatkan juara Kapcai Modifikasi Terbuka dan turut meraih tempat keempat kategori Dua Lejang Terbaik, sekali gus memperlihatkan persaingan menarik dalam kalangan peserta.
Abang Husen turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Ir Yusuf Abd Wahab dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Abdullah Saidol. Penghargaan sama ditujukan kepada Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Beliau turut berterima kasih kepada Pengerusi Sahabat Machine, Jenal Mumin serta Ketua Juri, Amran Mohd Jam dari LCCS Sibu yang dibantu Amirul Rozeni.



