KUCHING: Golongan M40 di Sarawak yang berdepan kesukaran membeli rumah mampu milik atau kediaman berharga tinggi bakal mendapat perhatian menerusi cadangan skim perumahan baharu yang sedang diteliti kerajaan negeri.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyelesaian bagi membantu golongan berpendapatan sederhana itu masih dalam peringkat penelitian dan akan didedahkan apabila cadangan berkenaan dimuktamadkan.
“Masalah sekarang ialah M40. Mereka yang hendak membeli rumah B40 tidak boleh kerana gajinya tinggi, manakala rumah semi-D sekarang harganya mahal.
“Mereka terperangkap di tengah-tengah. Tidak mampu membeli rumah berharga RM600,000 atau lebih, tetapi tidak mampu juga membeli rumah dalam kategori yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di sebuah hotel di sini, pada Rabu (25 November).
“Sebagai contoh, graduan yang memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan masih berdepan kesukaran untuk memiliki rumah, sama ada dalam kategori mampu milik mahupun kediaman yang lebih mahal.
“Keadaan ini membimbangkan kerana golongan M40 seolah-olah terperangkap di tengah-tengah, justeru saya mahu mencari satu penyelesaian supaya mereka turut mempunyai peluang untuk memiliki rumah,” tambahnya.
Beliau berkata, antara lokasi yang sedang dipertimbangkan bagi cadangan pembangunan perumahan berkenaan ialah Samarahan, Kuching dan Jepak di Bintulu.
Bagaimanapun, katanya, cadangan itu masih dalam penelitian dan beliau belum mahu mendedahkan secara terperinci sehingga penyelesaian yang sesuai dikenal pasti.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan terus memperluas penyediaan rumah mampu milik bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, HDC akan memainkan peranan penting dalam pembangunan perumahan berkenaan bersama-sama agensi lain seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta Borneo Housing.
Menurutnya, kerajaan Sarawak menyasarkan pembinaan 20,000 rumah untuk golongan B40 menjelang 2030, dengan anggaran 5,000 unit dibangunkan setiap tahun.
Katanya, perancangan perumahan jangka panjang itu turut merangkumi usaha mencari penyelesaian bagi golongan M40 supaya mereka tidak terus terperangkap antara rumah mampu milik dengan kediaman berharga tinggi.



