ARTIKEL

Fathi menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Tahunan HDC. | Foto: RAMIDI SUBARI

HDC Perlukan Peruntukan Tambahan Dalam Kajian Separuh Penggal Belanjawan 2027


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) memerlukan peruntukan tambahan menerusi Kajian Separuh Penggal Belanjawan Sarawak 2027 bagi memastikan projek perumahan yang diluluskan dapat diteruskan serta sasaran membina 20,000 rumah mampu milik menjelang 2030 tercapai.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Fathi Hambali berkata, peruntukan tambahan itu penting bagi mengekalkan momentum pelaksanaan projek sedia ada dan memastikan semua perancangan pembangunan perumahan berjalan mengikut sasaran.

“Kami memohon agar HDC diberikan peruntukan tambahan menerusi Kajian Separuh Penggal Belanjawan 2027 bagi projek-projek yang sedang dilaksanakan dan telah diluluskan.

“Peruntukan ini penting bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan projek serta pencapaian sasaran penyediaan 20,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan HDC di sebuah hotel di sini, pada Rabu (25 November).

Fathi berkata, HDC menghargai sokongan berterusan Kerajaan Sarawak dengan agenda perumahan negeri, khususnya menerusi peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan Sarawak 2027.

“Sebanyak RM319.35 juta diperuntukkan bagi sektor perumahan, pembangunan semula bandar dan penempatan baharu, dengan RM106 juta daripadanya disalurkan kepada HDC untuk melaksanakan 10 projek fizikal.

“Projek berkenaan melibatkan penyediaan 867 unit rumah mampu milik di Kuching, Samarahan, Betong, Sibu, Mukah dan Limbang menerusi Skim Pembesaran Kampung (SPK) serta Skim Penempatan Semula (SPS),” katanya.

Menurutnya, peruntukan itu turut membawa tanggungjawab besar kepada HDC untuk memastikan setiap projek diberi perhatian sewajarnya dari aspek perancangan, penyelarasan dan pemantauan bagi melancarkan pelaksanaannya.

Dalam perkembangan berkaitan, HDC merekodkan pencapaian sebanyak 1,074 unit rumah di bawah program Rumah SPEKTRA Permata (RSP) yang siap dibina sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 hingga Rancangan Malaysia Ke-13.

“Sebanyak 1,221 unit lagi sedang dalam pembinaan, menjadikan keseluruhan 2,295 unit rumah di bawah program berkenaan.

“Bagi pembangunan perumahan menerusi usaha sama, sebanyak 729 unit siap dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, manakala 1,739 unit lagi sedang dalam pelaksanaan, menjadikan jumlah keseluruhan 2,468 unit,” ujarnya.

Fathi berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan HDC memperluas akses rakyat kepada rumah mampu milik menerusi program kerajaan dan kerjasama strategik dengan sektor swasta.

“HDC juga akan memperkukuh keupayaan pelaksanaan projek menerusi penggunaan teknologi pembinaan moden, termasuk Sistem Binaan Berindustri (IBS), bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan pembinaan dan kualiti rumah.

“HDC bersetuju menubuhkan sebuah syarikat usaha sama dengan Terapan Dinamik (M) Sdn Bhd bagi membangunkan keupayaan teknologi IBS untuk projek perumahannya, selain menyokong perkembangan sektor perumahan di Sarawak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Fathi menyifatkan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai ‘Bapa Pemodenan Perumahan Mampu Milik Sarawak’ sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan beliau dalam pembangunan sektor perumahan negeri.

Menurutnya, kepimpinan dan visi Premier menjadi panduan penting kepada hala tuju agenda perumahan Sarawak, manakala HDC komited menterjemahkan visi berkenaan menerusi projek berkualiti dan penyampaian perkhidmatan berkesan.

Beliau berkata, HDC akan terus meningkatkan prestasi organisasi, mengekalkan standard kualiti serta keselamatan pembinaan, selain memberi perhatian kepada penyelenggaraan rumah dan kesejahteraan komuniti perumahan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU