ARTIKEL

Henry Harry Jinep ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS di Kuching, hari ini. | Foto: Mohd Alif Noni

Henry Harry Jinep Kekal Fokus Pembangunan Walaupun Berdepan Serangan Politik


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dakwaan Tasik Biru bakal menjadi kerusi panas serta serangan peribadi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 tidak mengalih tumpuan usaha meneruskan agenda pembangunan Bau yang dirancang bersama-sama masyarakat sejak sedekad lalu.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, kritikan dan serangan politik merupakan perkara bermusim yang tidak seharusnya mengganggu tanggungjawab melaksanakan pembangunan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, keutamaan beliau ialah memastikan setiap projek yang dirancang dapat diteruskan, termasuk pembangunan yang masih dalam pelaksanaan serta perancangan.

“Orang kata Tasik Biru mungkin kerusi panas. Belum bertanding sudah panas, tetapi kita tengoklah nanti. Malah, ada yang menyerang saya secara peribadi.

“Tetapi bagi saya, itulah politik. Ia hanya bermusim dan apabila musim itu berakhir, habislah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, pembangunan Bau sejak beliau mula menjadi wakil rakyat pada 2016 berpandukan pelan yang dirangka menerusi perbincangan bersama-sama penduduk, golongan profesional, ahli perniagaan dan individu berpengalaman.

“Ketika mula menjadi wakil rakyat, saya tidak merancang sendiri.

Saya mengajak mereka yang berpengalaman, mempunyai pengetahuan dan penduduk tempatan yang benar-benar memahami Bau untuk duduk berbincang.

“Kita membentuk satu kumpulan pemikir dan melalui perbincangan meja bulat, akhirnya kita menghasilkan sebuah buku yang menjadi panduan pembangunan Bau.

“Saya hanya menjadi pelaksana kepada perancangan tersebut kerana idea pembangunan itu datang daripada masyarakat sendiri,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, kesinambungan pembangunan penting kerana terdapat projek yang telah disiapkan, manakala sebahagiannya masih dalam pelaksanaan serta peringkat perancangan.

“Tugas saya adalah untuk melaksanakan apa-apa yang telah dipersetujui dalam pelan pembangunan itu.

Kalau saya gagal melaksanakannya, bermakna saya gagal menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

“Kadang-kadang memang ada sedikit masalah, tetapi apabila kita berbincang dan menerangkan bahawa pembangunan itu untuk kebaikan masyarakat, mereka akan memahami.

“Pembangunan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.

Kita perlu mengambil masa untuk berbincang, memberikan penerangan mengenai dasar dan memastikan penduduk memahami apa-apa yang mahu dirancang untuk mereka,” ujarnya.

Terdahulu, GPS mengekalkan Henry sebagai calon Tasik Biru, manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mempertaruhkan Jani Unggu atau Daniel Jani di kawasan berkenaan.

Pada PRU Sarawak Ke-12 pada 2021, Henry mempertahankan kerusi Tasik Biru dengan majoriti 4,212 undi selepas memperoleh 6,325 undi dalam pertandingan empat penjuru.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU