KUCHING: Tidak kira menang tanpa bertanding atau berdepan pencabar, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan beliau menerima kedua-dua kemungkinan itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Ketua Penerangan GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, beliau tidak mahu terlalu memikirkan kemungkinan menang tanpa bertanding kerana amalan demokrasi berparlimen membenarkan sesiapa sahaja bertanding dalam pilihan raya.
Malah, beliau mengalu-alukan sekiranya ada pihak tampil mencabar kerusi yang ditandinginya, namun tidak mempunyai masalah sekiranya kemenangan tanpa bertanding berlaku.
“Kalau ada pertandingan, kita terima.
Kalau menang tanpa bertanding, kita terima juga. Tiada bagus atau tidak bagus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 82 calon GPS oleh Pengerusi GPS, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.
Selain itu, Abdul Karim memberitahu, berdasarkan maklum balas petugasnya, mereka sebenarnya lebih menggemari pertandingan kerana keadaan itu membolehkan jentera parti menjalankan tugas sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, sekiranya calon menang tanpa bertanding, tugasan petugas hanya berlangsung sehingga hari penamaan calon dan tiada lagi aktiviti kempen selepas itu.
Mengulas kemungkinan kemunculan pencabar daripada Parti Wawasan Rakyat (Wawasan) atau dahulu dikenali sebagai Parti Sedar Rakyat (SEDAR) Sarawak, beliau berkata, terdapat seseorang yang sedang melakukan gerak kerja di kawasan berkenaan dan beliau mengalu-alukan sekiranya individu itu benar-benar mahu bertanding.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim berkata, pembaharuan dalam pemilihan calon perlu dilakukan pada setiap pilihan raya bagi memberi ruang kepada muka baharu, khususnya golongan muda.
Katanya, pengundi tidak boleh terus melihat wajah kepimpinan yang sama untuk tempoh terlalu lama, justeru parti perlu memberi perhatian kepada keperluan perubahan secara berkala.
“Setiap lima tahun mesti ada perubahan.
Mereka yang tidak berapa sihat atau berasa sudah terlalu lama boleh mengundurkan diri,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perubahan itu perlu dilakukan secara seimbang dengan mengekalkan gabungan pemimpin veteran, generasi pertengahan dan golongan muda.
Menurutnya, parti tidak boleh hanya bergantung kepada calon muda yang kurang pengalaman atau meletakkan terlalu ramai pemimpin veteran kerana setiap kelompok mempunyai peranan dalam memastikan kesinambungan kepimpinan.
Mengulas peratusan muka baharu yang lebih rendah berbanding pilihan raya terdahulu, beliau berkata, tiada ketetapan khusus jumlah calon yang perlu digantikan pada setiap pilihan raya.
“Penyertaan wanita dalam bidang profesional seperti perubatan dan kejuruteraan menunjukkan peningkatan ketara dan perkembangan sama diharap berlaku dalam politik,” ujarnya.

