ARTIKEL

Johnny Pang menerima watikah pelantikan sebagai calon GPS bagi kerusi DUN Tanjong Batu.

PRU Sarawak Ke-13: Johnny Pang Sedia Pertahan Kerusi Tanjong Batu


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming bersedia mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 selepas diumumkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan berkenaan, semalam (Rabu).

Beliau yang merampas kerusi berkenaan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada PRN Sarawak 2021 dengan majoriti tipis 23 undi berkata, kepercayaan yang diberikan Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merupakan amanah besar yang akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Menurutnya, GPS merupakan sebuah keluarga politik yang bersatu dan mempunyai matlamat bersama untuk memastikan kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sarawak.

Tanjong Batu antara kerusi sengit yang terletak dalam kawasan Parlimen Bintulu mempunyai sejarah persaingan politik tersendiri sejak diwujudkan susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2015 sebelum mula dipertandingkan pada PRN Sarawak 2016.

Pada pilihan raya negeri itu, kerusi berkenaan dimenangi calon DAP, Chiew Chiu Sing dengan majoriti 2,548 undi.

Bagaimanapun, landskap politik kawasan itu berubah pada PRN Sarawak 2021 apabila Johnny Pang berjaya merampas kerusi berkenaan daripada DAP dalam pertandingan enam penjuru yang menyaksikan persaingan amat sengit.

Johnny Pang memperoleh 4,092 undi berbanding calon DAP, Chiew Chan Yew yang meraih 4,069 undi, sekali gus memberikan kemenangan dengan majoriti hanya 23 undi.

Keputusan itu menjadikan Tanjong Batu antara kerusi paling sengit dipertandingkan pada PRN Sarawak 2021, sekali gus meletakkan kawasan berkenaan sebagai antara tumpuan politik menjelang pilihan raya negeri kali ini.

Johnny Pang berkata, sejak memenangi kerusi DUN Tanjong Batu pada 2021, beliau bersama pasukannya tidak pernah berhenti berusaha menyantuni masyarakat, menangani isu setempat, meneliti aduan penduduk serta memastikan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, segala usaha yang dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya, termasuk projek pembangunan yang sudah siap dan masih dalam pelaksanaan, merupakan sebahagian daripada rekod perkhidmatan yang boleh dinilai oleh pengundi.

Mengulas hala tuju pembangunan negeri, beliau menyatakan keyakinan agenda Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Abang Johari, khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan ekonomi dan infrastruktur.

Katanya, pencapaian sepanjang lima tahun lalu serta perancangan pembangunan masa depan yang digariskan kerajaan negeri menjadi asas untuk rakyat terus melihat masa depan Sarawak dengan penuh keyakinan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU