SARIKEI: Seramai 164 penjawat awam daripada 17 jabatan dan agensi kerajaan menerima Pingat Perkhidmatan Setia sebagai penghargaan atas komitmen, kesetiaan serta khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
Pingat berkenaan disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Majlis, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Sarikei, hari ini.
Majlis tersebut merupakan penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia yang keenam diadakan di Sarawak bagi tahun ini, melibatkan penerima daripada 11 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta enam agensi kerajaan Persekutuan.
Tiga penerima diberikan pengiktirafan khas kerana masing-masing menabur bakti selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam. Mereka ialah Philip Sanjan (Jabatan Pertanian Sarawak), Abdul Latip Osen (Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak) dan Dacy Christopher Ugot (Jabatan Pendidikan Sarawak).
Mengikut buku program, Jabatan Pendidikan Sarawak mencatat jumlah penerima tertinggi iaitu 28 orang, diikuti Jabatan Kesihatan Sarawak (24), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (18), Majlis Daerah Sarikei (16), Pejabat Residen Sarikei (14) dan Jabatan Hutan Sarawak (13).
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak merekodkan 12 penerima, Jabatan Pertanian Sarawak (10), Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak (7), Jabatan Penerangan Sarawak (6), Jabatan Kerja Raya Sarawak (4), dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (3).
Manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Imigresen Sarawak dan Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak masing-masing mencatat dua penerima, manakala Jabatan Agama Islam Sarawak mempunyai seorang penerima.
Keseluruhan 164 penjawat awam diraikan dalam majlis tersebut sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan, integriti serta dedikasi mereka dalam melaksanakan amanah sepanjang perkhidmatan.







