ARTIKEL

Timbalan Pengarah APM Sarawak, YS Lt.Kol. (PA) Raja Muhammad Alhakim Raja Jaafar

164 Zon Panas Bencana Banjir Dikenal Pasti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak mengenal pasti sebanyak 164 lokasi panas di seluruh negeri yang berisiko terjejas akibat banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda.

Timbalan Pengarah APM Sarawak, YS Lt.Kol. (PA) Raja Muhammad Alhakim Raja Jaafar berkata, pemilihan lokasi ini berdasarkan rekod kejadian banjir terdahulu dan pemantauan cuaca semasa termasuk 29 lokasi di kawasan Kuching.

Selain, 16 lokasi di Samarahan (16), Serian (6), Sri Aman (9), Betong (7), Sarikei (2), Sibu (66), Kapit (2), Bintulu (3), Miri (23) dan Limbang (1).

Menurutnya, pemantauan di lapangan bersama agensi berkaitan telah dilaksanakan untuk mengenal pasti kawasan yang paling terdedah kepada risiko banjir.

“Ini bagi memastikan persediaan lebih rapi dan tindak balas pantas apabila bencana berlaku,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, APM telah menempatkan anggota dan aset di kawasan berisiko tinggi untuk memudahkan operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa banjir sekiranya diperlukan.

Langkah ini diambil sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Sebagai langkah kesiapsiagaan sebanyak 658 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diwartakan di seluruh Sarawak dan boleh dibuka segera sekiranya terdapat keperluan untuk pemindahan mangsa bencana di mana-mana lokasi.

“APM Sarawak terus komited memantau keadaan cuaca dan mempertingkatkan kesiapsiagaan di kawasan berisiko. Usaha ini diharap dapat mengurangkan impak banjir serta mempercepatkan respons bagi menyelamatkan mangsa yang terjejas,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau memberi jaminan bahawa persiapan bagi menghadapi MTL telah dimulakan seawal Jun lalu.

“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk latihan kesiapsiagaan simulasi bencana bersama agensi penyelamat lain serta program kesedaran komuniti di kawasan berisiko banjir.

“Sebanyak 186 latihan kepada orang awam dilaksanakan di seluruh Sarawak bertujuan memastikan semua anggota dan sukarelawan APM termasuk komuniti setempat sentiasa bersedia dan memahami peranan masing-masing apabila berlaku bencana sebenar,” katanya.

APM Sarawak turut menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan yang dikenal pasti mudah terjejas banjir agar sentiasa berwaspada dan peka dengan sebarang amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta makluman daripada agensi keselamatan.

“Penduduk dinasihatkan supaya membuat persediaan awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat selamat memastikan bekalan makanan dan ubat mencukupi serta mematuhi arahan pemindahan sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.

“Pada masa sama komuniti tempatan juga digalakkan untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan serta melaporkan sebarang kejadian bencana bagi memudahkan tindakan segera diambil. Sila hubungi pejabat APM Daerah terdekat sekiranya terdapat tanda awal bencana dan kecemasan,” katanya.

Tegasnya, APM Sarawak bersedia 24 jam sehari bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana khususnya sepanjang musim tengkujuh ini.

Pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi memastikan setiap tindakan penyelamatan dan bantuan dapat dilaksanakan dengan cepat teratur dan berkesan demi keselamatan serta kebajikan rakyat ringkasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU