ARTIKEL

Abang Johari menyemat pingat kepada salah seorang penerima Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) Bahagian Mukah, di Mukah, hari ini.

168 penjawat awam Mukah terima PPS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Seramai 168 penjawat awam daripada 15 jabatan dan agensi di Bahagian Mukah menerima Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) sebagai penghargaan terhadap kesetiaan, integriti dan sumbangan mereka kepada perkhidmatan awam Sarawak, hari ini.

Majlis penyampaian disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan merupakan majlis PPS ketujuh yang diadakan tahun ini.

Penerima terdiri daripada kakitangan Pejabat Residen Bahagian Mukah, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak serta Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Antara penerima yang mencatat tempoh perkhidmatan terpanjang ialah Jamilah Salim dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan 38 tahun perkhidmatan, manakala Patrick Bawing dari jabatan sama serta Mohd Yusri Azhar Abdullah @ Leo Takip, Phoa Eng Boon, Buang Maharup, Mokhtar Ibrahim, Anthony Hearry Radio, Ubi Ahmad dan Nur Ain Syafika Tan Abdullah dari JPNS masing-masing berkhidmat selama 37 tahun.

PPS mempunyai sejarah panjang dalam pentadbiran Sarawak dan bermula sejak era pemerintahan Brooke menerusi penganugerahan Long Service Decoration kepada pegawai yang lama berkhidmat serta menunjukkan mutu perkhidmatan cemerlang.

Pada era Koloni British sekitar 1950-an, gelaran itu ditukar kepada Long Service Badge, sebelum Long Service Medal atau Pingat Perkhidmatan Lama digunakan mulai 1963.

Nama pingat itu kemudiannya ditukar kepada PPS pada 24 Mei 1996, dengan matlamatnya kekal sebagai penghargaan Kerajaan Sarawak kepada penjawat awam yang menunjukkan kesetiaan dan perkhidmatan cemerlang.

Secara umumnya, PPS diberikan kepada penjawat awam tetap di Sarawak yang berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun secara berterusan atau 25 tahun secara terkumpul, mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang dan memuaskan serta diperakukan ketua jabatan.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu lain.

BERITA LAIN

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi

BERITA TERBARU

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi