ARTIKEL

Operasi memutuskan bekalan elektrik di premis yang terlibat.

17 Pelayan Kripto Dirampas dalam Serbuan Curi Elektrik di Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Kegiatan curi elektrik melibatkan operasi perlombongan mata wang kripto terus menjadi masalah di Sarawak apabila satu lagi kes dikesan dalam operasi bersama Syarikat SESCO Berhad (SESCO) dan pihak polis di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Pujut di sini, baru-baru ini.

Sambungan wayar tambahan yang tidak selamat untuk mencuri elektrik.

Jelas kenyataan dari Sarawak Energy Berhad (SEB), serbuan oleh pasukan penguat kuasa menemui sambungan elektrik haram yang dibuat secara terus dari bekalan utama, memintas meter elektrik dan menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM7,000 sebulan.

“Sebanyak 17 pelayan perlombongan mata wang kripto serta kabel sambungan haram telah dirampas.

“Laporan polis telah dibuat dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan,” ujar kenyataan.

Tambah kenyataan, perlombongan mata wang kripto memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi.

“Disebabkan itu, sesetengah pengendali yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan pintas dengan membuat sambungan elektrik secara haram demi mengurangkan kos operasi.

“Sambungan elektrik tanpa kebenaran amat berbahaya kerana ia lazimnya memintas mekanisme keselamatan penting yang boleh mengakibatkan kejutan elektrik, kebakaran atau kerosakan kepada harta benda di sekeliling,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, Sarawak Energy menasihati para pemilik rumah agar sentiasa berwaspada dan menjalankan pemeriksaan berkala terhadap hartanah mereka.

“Corak penggunaan elektrik yang luar biasa, tanda-tanda pengubahsuaian pada sistem pendawaian atau bilik dengan pendingin hawa yang beroperasi sepanjang masa boleh menjadi petunjuk kepada aktiviti perlombongan haram,” jelas kenyataan itu lagi.

Meskipun penyewa bertanggungjawab atas tindakan mereka, tuan rumah turut boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal menjalankan pemantauan yang sewajarnya.

Sarawak Energy menegaskan komitmen mereka untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras jenayah kecurian elektrik.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh membuat laporan secara tanpa nama dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111, e-mel ke customercare@sarawakenergy.com, atau melalui aplikasi SEB cares.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU