ARTIKEL

Abdul Wahab menyampaikan penganugerahan ijazah sarjana muda kepada penerima sempena Istiadat Konvokesyen ke-103 UiTM

1,707 Graduan Buat Ibu Bapa Bangga di Konvokesyen ke-103 UiTM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,707 graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menerima penganugerahan masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen Ke-103 UiTM yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Disember ini.

Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata sidang pertama konvokesyen itu menyaksikan penganugerahan ijazah sarjana muda dan diploma kepada 286 graduan daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.

Menurut beliau, UiTM kekal komited melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta relevan dengan keperluan semasa.

“Tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian kerana usaha, pengorbanan dan ketekunan anda akhirnya membuahkan hasil bermakna.

“Syabas juga kepada ibu bapa, keluarga, para pensyarah dan seluruh pentadbiran universiti yang telah menjadi tonggak dalam melahirkan insan terbilang yang kita raikan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penganugerahan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Wahab memaklumkan kadar kebolehpasaran graduan UiTM 2024 kini mencatatkan 92.1 peratus hasil usaha berterusan universiti itu memperkukuh kualiti graduan melalui jalinan strategik bersama industri dan agensi utama.

“UiTM Cawangan Sarawak khususnya bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Konsortium Bumi Consultant and Services, serta universiti luar negara seperti National Formosa University, Taiwan dan Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia.

“Alhamdulillah, usaha ini membuahkan hasil yang amat membanggakan sekali gus mengangkat martabat UiTM apabila diiktiraf sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan seluruh warga UiTM dalam memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja berkualiti dari segi akademik, malah bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

“Seiring dengan itu, pelbagai langkah strategik dilaksanakan untuk memperkukuh kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi khususnya dalam mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran global melalui penglibatan aktif dalam program antarabangsa.

“Contohnya, University Intercultural Exchange 2025: Mapping Sarawak to the World di Dublin, Ireland, serta Come Discover Bumi Kenyalang 2025 yang menghimpunkan pelajar dari Indonesia, China dan Kemboja,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan yang diraikan tersebut merupakan permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih luas dan mencabar buat para graduan.

“Dunia masa kini menuntut graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berjati diri teguh, berintegriti serta mampu memimpin dan memberi sinar kepada masyarakat.

“Hargailah pengorbanan ibu bapa, keluarga, para pensyarah dan seluruh warga universiti yang telah menjadi pendorong sepanjang perjalanan ini.

“Jadilah alumni yang mengenang budi agar dapat mengangkat martabat universiti ini dengan penuh rasa bangga kerana dengan ilmu, pengalaman serta kemahiran yang diperoleh di sini, anda mampu menyumbang kepada keluarga, organisasi, masyarakat dan negara,” tambahnya.

Istiadat Konvokesyen Ke-103 UiTM kali ini turut menyaksikan 401 graduan menerima ijazah sarjana muda manakala 1,306 graduan lagi dianugerahkan diploma.

Pecahan bilangan graduan pula merangkumi 286 graduan bagi sidang pertama, diikuti sidang kedua (273), sidang ketiga (281), sidang keempat (293), sidang kelima (284) dan sidang keenam (290).

Antara penerima anugerah utama ialah anak kepada Imam Besar Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi iaitu Abdul Somad Mustapha Kamal yang dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan (Sarjana Muda) serta Anugerah Graduan Terbaik Khas MITSA (Sarjana Muda).

Sementara itu, Syahmie Adrie Superi menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan (Diploma) dan Anugerah Graduan Terbaik Kepimpinan (Diploma).

Turut menerima pengiktirafan ialah Muhammad Shahrinizam Ahmad sebagai Penerima Anugerah Graduan Terbaik Kepimpinan (Sarjana Muda) dan Leonard Manggoi Justin sebagai Penerima Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan Sarawak (Sarjana Muda).

Selain itu, Hadif Uzair Suhardi menerima Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan Sarawak (Diploma), manakala Muhammad Abal Hakim Abal Mukam dianugerahkan Anugerah Graduan Terbaik Khas MITSA (Diploma).

Abdul Wahab merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat dan penerima anugerah utama sempena Istiadat Konvokesyen Ke-103 UiTM

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha