SIBU: Tindakan agresif IPD Sibu membanteras penyalahgunaan dadah membuahkan hasil apabila 177 suspek berjaya ditahan sepanjang pelaksanaan Op Tapis Narkotik dari 1 hingga 30 November 2025.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, operasi berterusan itu dijalankan bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah serta meningkatkan tahap keselamatan awam di kawasan berkenaan.
“Daripada jumlah tangkapan tersebut seramai 165 adalah lelaki manakala 12 lagi perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata, sepanjang operasi pihaknya telah menahan sembilan suspek mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seramai 11 individu turut ditahan di bawah Seksyen 12(3) dan 157 penagih disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a).
“Dalam serbuan itu polis turut menemui 60.30 gram syabu dengan nilai anggaran RM6,650,” katanya.
Menurut Zulkipli semua yang ditahan telah didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang masing-masing.
Beliau menjelaskan bahawa kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta tiga hingga sembilan sebatan.
“Bagi kes di bawah Seksyen 12(3) pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sementara itu kes di bawah Seksyen 15(1)(a) memperuntukkan denda sehingga RM5,000 penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya selain pengawasan selama dua tahun,” tambahnya.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan berkaitan dadah melalui talian 012-2087222 (Bukit Aman) atau 017-5929221 (Sarawak).

