KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh pengurusan tanah gambut secara menyeluruh bagi mencegah kebakaran dan mengurangkan risiko jerebu, terutama menerusi strategi berasaskan sains dan perancangan jangka panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong berkata, strategi itu perlu menetapkan sasaran jelas, garis masa pelaksanaan dan agensi bertanggungjawab bagi memastikan keberkesanannya.
Katanya, walaupun sebahagian besar jerebu mungkin berpunca dari luar Sarawak, negeri ini perlu mengambil langkah proaktif bagi mencegah kebakaran tanah gambut daripada menjadi punca jerebu pada masa hadapan.
“Kita perlu meneliti langkah yang boleh diambil Sarawak untuk mencegah kebakaran tanah gambut dan mengelakkan negeri ini menjadi punca jerebu pada masa hadapan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sarawak mempunyai kawasan tanah gambut yang luas, sekali gus menjadikan pengurusan ekosistem itu tanggungjawab penting yang memerlukan perhatian serius kerajaan.
Garis panduan pengurusan dan sistem pemantauan kebakaran sahaja tidak mencukupi tanpa pelaksanaan serta penguatkuasaan berkesan di lapangan.
Jelasnya, perlindungan tanah gambut bukan sekadar mencegah kebakaran, malah merangkumi usaha mengekalkan paras air yang sesuai, memulihkan kawasan terjejas dan mengelakkan kemerosotan tanah.
“Hutan paya gambut yang sihat berperanan menyimpan karbon, melindungi biodiversiti, mengawal aliran air dan mengurangkan risiko kebakaran.
“Perancangan guna tanah perlu mengambil kira keadaan tanah gambut kerana sistem saliran berlebihan boleh mengeringkannya dan menjadikannya lebih mudah terbakar.
Violet menegaskan, pencegahan perlu diutamakan kerana kebakaran tanah gambut sukar dipadamkan dan boleh menghasilkan jerebu yang mengancam kesihatan awam.
Justeru, beliau berkata, usaha melindungi tanah gambut perlu dilaksanakan sepanjang tahun melalui peruntukan mencukupi, pemantauan berkala dan penguatkuasaan tegas, bukan hanya apabila jerebu melanda.


