KUCHING: Kuarters baharu Kerajaan Sarawak di Mukah dicadangkan turut menempatkan penjawat awam Persekutuan bagi mengatasi kekurangan kemudahan kediaman golongan itu di daerah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, cadangan penggunaan bersama itu wajar dipertimbangkan memandangkan kuarters Kerajaan Persekutuan di Mukah tidak mencukupi.
Menurutnya, projek pembangunan kuarters baharu Kerajaan Sarawak Pakej 2 di Mukah melibatkan peruntukan RM103.4 juta bagi menyediakan kemudahan kediaman kepada penjawat awam yang bertugas di daerah itu.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Berdasarkan status yang dilaporkan, projek kuarters berkenaan belum bermula dan merupakan antara tujuh projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Ke-13 (RMK-13) — melibatkan kerajaan negeri serta Persekutuan, dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM585.88 juta.
Selain kemudahan kediaman penjawat awam, Royston turut membangkitkan status pelaksanaan projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan penempatan penduduk.
Beliau berkata, setakat 30 September 2026, projek SPK Tellian Tengah Fasa 1 bernilai RM30 juta mencapai kemajuan 99 peratus, manakala projek Rumah Mampu Milik di SPK Tellian bernilai RM23.5 juta masih dalam pelaksanaan.
Sementara itu, projek SPK Tellian Tengah Fasa 2 bernilai RM27.7 juta dan SPK Petanak Fasa 2 bernilai RM27.2 juta masih pada peringkat reka bentuk.
Beliau menggesa agensi pelaksana menyelesaikan baki kerja serta urusan berkaitan bagi projek yang hampir siap supaya kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan penduduk.
Beliau turut meminta jadual pelaksanaan projek yang masih berjalan diperjelas, selain memperkukuh penyelarasan antara kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta menyediakan laporan kemajuan secara berkala.
Katanya, pemantauan berterusan penting bagi mengenal pasti dan menangani halangan pelaksanaan supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual, memenuhi piawaian kualiti dan menepati keperluan penduduk.

