18 projek tertangguh akibat PKP

KUCHING: JKR diarahkan untuk melihat dan mempercepatkan pelaksanaan 18 projek di bawah Parlimen Santubong yang tertangguh ekoran PKP seluruh negara.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, projek itu di Dun Pantai Damai, Tanjung Datu dan Demak Laut melibatkan kos dari RM50,000 ke RM2.5 juta.

“Projek ini melibatkan pembinaan masjid, surau, dewan dan sebagainya yang ditender pada penghujung tahun 2019. “Kerja pembinaan seharusnya bermula awal tahun ini.

Namun ekoran Covid-19, kerja tidak dapat diteruskan,” katanya dalam sidang media sebelum menghadiri taklimat bersama JKR Sarawak di Jalan Batu Lintang.

Menurutnya, kini terdapat kelonggaran dan SOP ditetapkan untuk kontraktor dan pihak berkaiat telah dikenal pasti untuk menyambung kerja mereka.

“Terdapat projek masjid dan surau yang belum bermula sejak 2013. “Sebab itu saya mengadakan perjumpaan bersama-sama JKR dan meminta mereka melihat semula kedudukan projek ini dari proses tender, dokumentasi dan kontraktor yang telah dipilih untuk projek.

“Harapan saya adalah manamana syarikat menerima projek agar menjalankan kerja secepat mungkin,” katanya. Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi berkata, jika projek bermula secepat mungkin, dijangka mengambil tempoh 18 bulan ke dua tahun untuk disiapkan.

“Ia juga mengakibatkan penangguhan projek yang diluluskan pada 2018 dan dana Kerajaan Persekutuan tetapi ditarik balik pada Mei 2018 setelah PH mengambil alih kerajaan.

“Saya memohon Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menyalurkan dana untuk ahli parlimen yang menghadapi masalah yang sama agar projek yang terkesan dapat dilaksanakan,” katanya.

Wan Junaidi menjelaskan, antara sebab yang mengakibatkan penangguhan projek kerana beberapa projek ditenderkan semula.

“Ada beberapa pihak yang bertanya bila projek-projek tersebut dilaksanakan dan saya semua faham kerana pekerjaan harus dihentikan semasa tempoh PKP. “Projek-projek ini tidak ditangguhkan dengan sengaja atau tidak ada dana. Tuduhan ini tidak benar,” tegasnya.