18 zon, 22 laluan bas

KUCHING: Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang memohon ibu bapa untuk bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi melalui Program Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma Kerajaan Sarawak yang baru dilancarkan semalam.

“Apabila sekolah dibuka, pasti akan ada kesesakan lalu lintas.

Dengan adanya sebahagian jalan raya sempit dan bas tidak dapat membelok di kawasan tertentu, maka ia akan menjadi cabaran untuk usaha kita di Yayasan Sarawak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran perkhidmatan bas sekolah percuma oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Inovasi Warisan Kreatif SMA di sini, semalam.

Azmi menjelaskan bahawa, program bas percuma itu bakal melibatkan 30 sekolah dari SMK St Teresa hingga SMK Bako, yang meliputi Daerah Kuching dan Padawan.

Beliau berkata, terdapat 18 zon dalam dua daerah ini, yang terdiri daripada 22 laluan.

“Program ini bakal merangkumi 46 bas dan van (23 bas dan 23 van).

Bas akan melalui laluan yang ditentukan, dengan setiap bas dapat memuatkan 40 hingga 44 penumpang,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi kawasan tertentu yang tidak dapat dimasuki bas, perkhidmatan van digunakan, masing-masing dengan kapasiti 13 hingga 20 pelajar, akan diperlukan untuk kawasan sukar dimasuki bas.

“Secara keseluruhan, akan ada sekitar 178 perjalanan setiap hari dengan kapasiti penuh.

“Memandangkan pelajar akan menaiki perkhidmatan ini dua kali sehari, maka dianggarkan jumlah pelajar sepanjang sehari dapat mencapai hingga 2,800 hingga 3,000 orang,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa sistem pengesanan yang dilaksanakan dalam perkhidmatan bas sekolah percuma ini membantu pengendali bas mahupun persatuan memantau bas. “Aplikasi sistem penjejakan ini boleh dimuat turun melalui App Store atau Google Play Store, dan sistem ini tidak seperti yang digunakan pada Grab dan Uber,” jelasnya.

Azmi turut berharap pemandu bas yang bakal menjalankan perkhidmatan ini mematuhi laluan dan jadual untuk memastikan pelajar tidak terlambat ke sekolah.

“Pengendali program perkhidmatan bas sekolah percuma, ini adalah di bawah Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Bahagian Kuching dan Samarahan.

“Saya sendiri telah bertemu dengan semua pengusaha bas dan pemandu bersama-sama Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin. “Kita telah memberi penerangan mengenai sistem ini secara terperinci.

“Selain itu, kita telah memasang 46 pengesan jejak di semua bas.

Jadi ia akan dikesan secara langsung terus,” katanya lagi.

Menurutnya, program ini akan diperbaharui dari semasa ke semasa dan Yayasan Sarawak akan mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan setiap laluan bas percuma tersebut.

“Ada jalan-jalan tertentu yang harus dilalui , dan tanggungjawab kita adalah untuk meliputi sebanyak mungkin sekolah di Kuching, Padawan, dan Samarahan.

“Oleh itu, kita perlu berkembang dan kita akan melakukan yang diperlukan apabila tiba waktunya,” katanya.

Suara Sarawak