KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan semua lampu isyarat sedia ada dinaik taraf kepada sistem pintar.
Pemasangan lampu isyarat ini akan menumpukan di persimpangan yang kerap berlaku kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata sehingga kini 183 daripada 367 unit lampu isyarat di seluruh Sarawak telah berjaya dinaik taraf, manakala baki 184 unit masih dalam proses pelaksanaan.
“Daripada 183 yang telah dinaik taraf, Kuching mencatat angka tertinggi dengan 95 unit, diikuti Miri (31), Bintulu (22), Sibu (12), Samarahan (9), Serian (4), Sarikei (6), Mukah (2) dan satu unit di Limbang dan Kapit,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pengangkutan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.
Dalam perkembangan lain, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 17,847 kemalangan jalan raya di Sarawak setakat Oktober 2025.
Berdasarkan statistik berkenaan, kereta mencatat jumlah kemalangan tertinggi, diikuti kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.
Difahamkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dikenal pasti sebagai daerah dengan kadar kemalangan tertinggi, berpunca daripada kehilangan kawalan akibat memandu laju, pelanggaran belakang dan pelanggaran sisi di simpang.
Oleh hal demikian, Lee menegaskan bahawa keselamatan jalan raya sepenuhnya hanya boleh dicapai melalui usaha bersama semua pihak.
Mengulas lanjut, beliau berkata pada 2026, kementeriannya akan memperluas kerjasama dengan JPJ Sarawak, PDRM dan Jabatan Pendidikan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar sekolah. – TVS



