Kami tidak minta bulan, bintang

TANJUNG MANIS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa memberikan perhatian lebih serius terhadap 27 sekolah rendah yang disifatkan daif di kawasan Parlimen Tanjong Manis ekoran keadaannya semakin bahaya jika terus digunakan.

Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir. Yusuf Abdul Wahab berharap, KPM dapat menyalurkan peruntukan sewajarnya untuk mengatasi isu sekolah daif dengan segera.

“Kami tidak pernah meminta bulan dan bintang. Cuma mengidamkan segala kemudahan asas untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat termasuk sekolah daif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyokong Usul Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhun Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurutnya, terdapat 27 sekolah rendah yang dikategorikan daif kerana bangunannya usang, prasarana lain dalam keadaan tidak baik serta boleh mendatangkan bahaya jika terus digunakan.

Antaranya SK Sebako, Kampung Bruit, SK Bekakong, SK Telok Gelam, SK Kampung Betanak, SK Sungai Selidap, SK Mohammad Redeh Saai, SK Kampung Penipah, SK Kampung Tekajong, SK Sungai Kut, SK Tanjung Bundung, SK Mupong, Abang Amin, SK Salah Kecil, SK Sungai Sentebu, SK Muara Payang, SK Abang Buyuk, SK Stalon, SK Abang Haji Matahir, SK Mandor Aris, SK Bukit Kinyau, SK Sarikei, SK Adin, SK Saint Andrew, SK Jawa, SK Bayang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua San Ming.

Jelasnya lagi, jumlah itu belum termasuk SMK Semop di Pulau Bruit dan SMK Belawai yang memerlukan penambahbaikan prasarana. “SMK Semop di Pulau Bruit memerlukan sebuah dewan selain turut mengalami masalah kekurangan bilik kelas dan asrama serta tidak mendapat bekalan elektrik 24 jam meskipun sekolah ini hanya kira-kira 150 meter dari grid bekalan elektrik.

“Sementara, SMK Belawai tidak mempunyai dewan perhimpunan tertutup. “Saya yakin, keadaan sekolah daif memberi kesan negatif terhadap psikologi pelajar, guru, pentadbir sekolah, mahupun ibu bapa kerana keselamatan serta keselesaan anak-anak tidak terjamin.

“Sekiranya sekolah selamat, lengkap dan mempunyai persekitaran yang kondusif, ia menjadi motivasi untuk mereka beroleh kecemerlangan,” tambahnya.

Yusuf turut meminta KPM memandang serius permasalahan tersebut untuk memastikan prestasi pendidikan anak-anak Tanjung Manis tidak terjejas selain berharap kerajaan menyalur lebih banyak peruntukan yang akan memudahkan pelaksanaan aktiviti.

Beliau turut membangkitkan isu capaian Internet yang masih lemah. “Jika seorang pelajar di Sabah perlu memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet, penduduk di beberapa kampung dan rumah panjang di kawasan Tanjung Manis perlu ke hujung jeti atau menggantung telefon pintar di jendela sekadar untuk mendapat liputan 2G setiap kali liputan terganggu.

“Yang berlaku di kawasan saya seperti Kampung Paloh, Berangan dan seluruh Pulau Bruit terutamanya di kawasan utara pulau, kawasan Mupong, Semaring dan beberapa kawasan di Sare sememangnya ada, tetapi capaian itu sangat lemah dan berkala.

“Sekiranya capaian Internet meluas dan stabil, kemenjadian anak-anak akan menjadi lebih baik, keselesaan hidup juga terjamin, ekonomi rakyat juga meningkat dan lebih maju.

“Justeru, saya memohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia membantu Kerajaan Sarawak menyediakan liputan rangkaian telekomunikasi dan Internet yang lebih meluas,” jelasnya.

Suara Sarawak