Pengiran Bala bimbing skuad belia Sarawak

BEKAS jurulatih skuad senior Sarawak, Pengiran Bala, 58, dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan belia, atau skuad Sarawak United III.
Pelantikan bekas penyerang Ngap Sayot itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana beliau cukup berpengalaman di pentas Liga Malaysia.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Mohd. Saif Jubaidi mengesahkan pelantikan tersebut.
“Dalam mesyuarat baru-baru ini, kami bersetuju melantik Pengiran Bala untuk mengemudi pasikat belia Sarawak.
“Dengan pengalaman yang ada kita percaya Pengiran mampu membentuk pasukan yang mampu memberikan siangan hebat dalam Piala Beliau nanti,” ujar Saif.
Sesi latihan akan bermula awal Februari depan, namun bergantung kepada situasi Covid-19. Stadium Mini Miri akan menjadi gelanggang utama skuad belia Sarawak.
Saif mewakili pihak FAS turut mengucap terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) atas kerjasama dalam membentuk pasukan belia Sarawak.
Sementara itu, Pengiran berpendapat, ia merupakan amanah yang cukup mencabar.
“Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya. Saya akan memastikan pembentukan pasukan muda ini lancar dan mencapai objektif.
“Harapan saya ialah pemain daripada pasukan ini akan menampung keperluan pasukan senior dan skuad Piala Presiden nanti,” ujar Pengiran yang pernah meraih gelaran sebagai pemain terbaik 1988.

Suara Sarawak