KUCHING: Safari Rakit Padawan 2023 mendapat sambutan luar biasa sekali gus merekodkan penyertaan tetinggi dengan 200 pasukan dari dalam dan luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan jumlah penyertaan itu juga telah memecah rekod tahun lalu yang disertai 100 pasukan.
Katanya, ia juga disertai oleh pelbagai pasukan termasuk 77 dari agensi kerajaan; wanita terbuka (23); agensi hotel dan lawatan (20); kategori terbuka (36); dan kayak (44).
“Tahun ini juga kita dapat melihat penglibatan 13 pasukan antarabangsa iaitu empat daripadanya mewakili Thailand, dua dari Indoenesia, manakala masing-masing satu pasukan dari Amerika Syarikat, Rusia, Belarus, China, Singapura, Brunei dan Filipina.
“Justeru, lonjakan besar ini menunjukkan acara atau temasya tersebut mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan peserta dari dalam atau luar negara,” katanya pada sidang media sempena penganjuran Safari Rakit Padawan 2023, di Hotel Serapi, di sini, hari ini.
Mengenai waktu pelepasan Safari Rakit Padawan Ke-20 yang akan berlangsung pada 22 Oktober ini, beliau memaklumkan waktu dan tempat pelepasan dijalankan berasingan.
Menurutnya, untuk kategori kayak ia akan dilepaskan pada jam 7.30 pagi di Kampung Annah Rais; Kategori Terbuka pula pada 8.30 pagi di Kampung Temurang; dan kategori wanita terbuka, agensi kerajaan, perhotelan serta lawatan di Kampung Danu.
“Seperti apa yang dimaklumkan acara penutupan pula akan berlangsung di Kampung Git dan dijangka pada jam 3 petang,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari pautan www.padawanraft.com.



