BINTANGOR: Keprihatinan dan sokongan berterusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing terhadap pembangunan pendidikan anak-anak di kawasan itu diteruskan menerusi pemberian Insentif My Journey to University 2026 kepada 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong.
Pemberian tersebut membabitkan peruntukan keseluruhan RM25,900 dan menjadi sebahagian daripada usaha beliau yang dilaksanakan secara konsisten sejak 2017 bagi membantu serta menyuntik semangat pelajar, khususnya golongan Tingkatan Enam, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kuong Hiing berkata, kehadirannya pada majlis berkenaan bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sebaliknya didorong keikhlasan serta keprihatinan terhadap masa depan anak-anak SMK Meradong yang memerlukan sokongan dan dorongan dalam membina laluan menuju menara gading.
“Kesinambungan program ini selama hampir sedekad merupakan komitmen peribadi saya untuk memastikan pelajar Tingkatan Enam sentiasa mendapat dorongan sewajarnya ketika berusaha mencapai cita-cita dan membina masa depan yang lebih cerah.
“Bagi saya, pendidikan anak-anak merupakan amanah yang perlu diberi perhatian. Sokongan ini diharapkan dapat menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk terus berusaha, yakin pada kemampuan diri dan tidak berhenti mengejar impian,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Insentif My Journey to University 2026 di SMK Meradong, hari ini.
Daripada keseluruhan penerima, 67 pelajar menerima insentif berdasarkan prestasi akademik dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025, manakala 133 lagi diberikan bantuan berikutan kejayaan memperoleh tawaran untuk meneruskan pengajian di universiti.
Beliau berkata, prestasi tahun ini amat memberangsangkan apabila 67 daripada 180 pelajar Tingkatan Enam sekolah berkenaan mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.00 dan ke atas dalam STPM 2025.
Dalam pada itu, seramai 132 pelajar atau 73.3 peratus daripada keseluruhan pelajar berjaya mendapat tempat untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi, dengan 113 orang menerima tawaran melalui UPU, 19 memilih universiti swasta dan seorang lagi meneruskan pengajian di institut kemahiran.
Ding berkata, pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan pelajar selain menggambarkan kesepaduan usaha guru dan ibu bapa dalam membimbing generasi muda mencapai kecemerlangan.



