ARTIKEL

Profesor Dr Fitri Suraya ketika sesi temu bual khas sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon II Sibu di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagian Komunikasi Korporat UNIMAS, di sini, hari ini. (Foto RAMIDI SUBARI)

20,000 pengunjung dijangka banjiri Karnival Jom Masuk Universiti di Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Komuniti di kawasan Sibu khususnya pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi diseru memeriahkan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Sarawak II yang akan berlangsung pada 25 dan 26 April ini.

Program tersebut bakal diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS, Profesor Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie berkata, penganjuran kali ini merupakan julung kalinya UNIMAS mengendalikan JMU di zon tengah Sarawak.

Langkah berkenaan dijangka memudahkan pelajar dari kawasan pedalaman atau luar bandar mendapatkan maklumat secara terus tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.

“Justeru, kita juga menjangkakan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran JMU di Zon Tengah Sarawak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual khas sempena karnival berkenaan di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagian Komunikasi Korporat UNIMAS, di sini, hari ini.

Menurutnya, karnival tersebut akan menyediakan 55 reruai melibatkan penyertaan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), universiti tempatan di Sarawak serta agensi seperti MARA dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA).

“Istimewanya, pelajar turut berpeluang mendapatkan maklumat daripada universiti milik Kerajaan Sarawak seperti Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, UTS dan Kolej Universiti i-CATS mengenai peluang pendidikan yang ditawarkan.

“Selain itu, pengunjung juga boleh berinteraksi secara langsung dengan wakil institusi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kursus serta laluan kerjaya masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan penyampaian maklumat secara digital turut memainkan peranan penting memandangkan terdapat individu yang lebih selesa mendapatkan maklumat secara dalam talian termasuk melalui platform TikTok berbanding hadir secara fizikal.

“Sejak dua tahun lepas, Bahagian Pendidikan Tinggi sebenarnya telah menyediakan saluran di TikTok semasa program JMU.

“Minggu lepas semasa program di Kuching, pengunjung melalui saluran media sosial direkodkan lebih 80,000 tontonan. Jadi, kami berharap penganjuran di Sibu akan mencatat angka yang lebih tinggi,” jelasnya.

Untuk rekod, Karnival JMU 2026 Zon Sarawak II akan berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang dengan kemasukan adalah percuma bagi semua lapisan masyarakat termasuk pelajar dan ibu bapa.

Program berkenaan dijadual dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU