KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan menempatkan seramai 208 pegawai dan anggota polis di lokasi tumpuan orang ramai, kawasan komersial dan semua kawasan sasaran sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah, berkata penugasan itu melibatkan 186 pegawai dan anggota tugas am serta 22 pegawai dan anggota trafik.
“Penugasan ini adalah bagi memastikan masyarakat merasa konsep ‘Perkhidmatan Diterima dan Dirasai’.
“Selain itu, usaha ini adalah untuk menjamin keselamatan masyarakat dan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam di kawasan setempat, khususnya di bandar raya Kuching, sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang akan meninggalkan rumah untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman atau bercuti keluar daerah diminta mengisi borang pemakluman balik kampung.
Katanya, borang tersebut boleh didapati di balai polis terdekat atau secara dalam talian melalui aplikasi VSP 2.0 dan melalui pautan Facebook IPD Kuching.
“Bagi mereka yang memandu pula dinasihatkan untuk merancang perjalanan serta membuat persiapan awal sebelum memulakan perjalanan.
“Diingatkan juga supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua,” ujarnya.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat kejadian jenayah, boleh disalurkan ke Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau di Balai Polis berhampiran seperti berikut:
Balai Polis Sentral 082-241222, Balai Polis Padungan 082-424304, Balai Polis Sekama 082-332751/082-332522, Balai Polis Satok 082-274238, Balai Polis Sg. Maong 082-241167, Balai Polis Bintawa 082-335930, Balai Polis Santubong 082-846222, Balai Polis Tabuan Jaya 082-360999, dan Balai Polis Gita 082-254417.




