SIMANGGANG: Selain kelebihan sumber tenaga, kestabilan politik, dasar pembangunan yang berhemah serta ekosistem pelaburan yang kondusif antara faktor utama yang meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Sarawak.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak kini semakin mendapat perhatian pelabur antarabangsa dan wakil diplomatik daripada pelbagai negara yang melihat Bumi Kenyalang sebagai destinasi berpotensi tinggi untuk meneroka peluang kerjasama dan pelaburan.
Menurutnya, perkembangan itu didorong oleh hala tuju pembangunan yang jelas serta keupayaan Sarawak membina asas ekonomi dan teknologi yang semakin berkembang.
“Seorang tokoh perniagaan terkemuka Jepun, Masayoshi Son, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp, sanggup menempuh perjalanan selama tujuh jam ke Sarawak kira-kira dua minggu lalu untuk bertemu dengan saya bagi membincangkan potensi pelaburan, meskipun beliau mempunyai banyak pilihan destinasi pelaburan lain.
“Tokoh perniagaan itu antara individu yang terlibat dalam pengumuman pelaburan bernilai AS$50 bilion oleh Perdana Menteri.
“Namun, minat beliau terhadap Sarawak bukan hanya tertumpu kepada sumber tenaga yang dimiliki negeri ini.
“Beliau memberitahu saya bahawa beliau telah meneliti dasar-dasar Sarawak, bukan sahaja berkaitan tenaga, malah dasar pendidikan, dan amat tertarik dengan usaha Sarawak mempersiapkan rakyatnya menghadapi kemajuan teknologi menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Abang Johari berkata, tokoh perniagaan berkenaan turut menunjukkan minat terhadap potensi Sarawak untuk membangunkan pusat data berteknologi tinggi serta industri pembuatan cip semikonduktor.
Ini sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan negeri ini menyokong perkembangan industri berteknologi tinggi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kestabilan politik, dasar yang berhemah, perpaduan masyarakat serta ekosistem pembangunan yang kondusif turut menjadi antara kelebihan Sarawak dalam menarik minat pelabur.
“Beliau sebenarnya boleh pergi ke tempat lain, termasuk Indonesia atau Semenanjung Malaysia, tetapi memilih Sarawak selepas meneliti apa yang mampu kita tawarkan.
“Inilah keyakinan yang ingin kita bina. Biarlah Sarawak menjadi hab global bagi teknologi terkini,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh peningkatan perhatian masyarakat antarabangsa terhadap Sarawak apabila duta dari pelbagai negara semakin kerap mengunjungi negeri ini bagi meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang.
Antaranya ialah Duta Rusia yang mencadangkan kerjasama dengan Sarawak dalam pembangunan teknologi roket bagi tujuan pelancaran roket ke orbit.
Abang Johari berkata, beliau menyambut baik cadangan itu kerana ia merupakan satu lagi petunjuk keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan serta hala tuju pembangunan Sarawak.
Katanya, segala usaha menarik pelaburan dan memperluas kerjasama antarabangsa perlu akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat, khususnya generasi muda, melalui peluang ekonomi, pembangunan teknologi dan peningkatan keupayaan modal insan.
“Hari ini, dunia sedang memandang Sarawak.
“Sarawak ibarat seorang wanita cantik yang ingin dipikat oleh semua orang,” katanya.




