ARTIKEL

Gilberd, Razaili dan Mohamad Zainal bergambar kenangan bersama barisan kepimpinan tertinggi PDRM yang hadir pada Majlis Perasmian Balai Polis Beladin di sini, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

21 Projek Infrastruktur PDRM Dalam Perlaksanaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BELADIN: Sebanyak 21 projek pembangunan prasarana Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diluluskan untuk Sarawak sedang dilaksanakan pada pelbagai peringkat.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Gilberd Philip Layang berkata, perkara itu membuktikan komitmen berterusan PDRM untuk memperkukuh infrastruktur, meningkatkan keberkesanan operasi serta memastikan kesejahteraan dan keselamatan pegawai dengan anggotanya sentiasa terpelihara, seterusnya memperkukuh keselamatan rakyat di seluruh negeri Sarawak.

Gilberd menerima cenderahati berupa alat muzik tradisional Iban pada Majlis Perasmian Balai Polis Beladin di sini, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

“Saya ingin memaklumkan, pada masa ini sebanyak 21 projek pembangunan prasarana PDRM telah diluluskan dan sedang dilaksanakan di seluruh Kontinjen Sarawak.

“Ia merangkumi pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), tiga balai polis, dua pondok polis, sembilan batalion dan pos Pasukan Gerakan Am (PGA), pangkalan udara dan kemudahan sokongan serta satu perolehan tanah bagi pembinaan IPD,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Polis Beladin di sini, hari ini.

Jelasnya, senarai kelulusan projek yang sedang dilaksanakan membabitkan IPK Sarawak (RM521.5 juta), IPD Belaga (RM89.8 juta), IPD Kapit serta perumahan (RM150 juta) dan IPD Dalat serta perumahan (RM79.82 juta).

“Selain itu, Balai Polis Matang Jaya, Padawan (RM24.646 juta), Balai Polis Lachau (RM40.7 juta), menaik taraf Balai Polis Sematan di IPD Lundu (RM2 juta), menaik taraf Pondok Polis Pendam di IPD Limbang (RM1 juta) dan menaik taraf Pondok Polis Long Semadoh (RM1 juta).

“Antara lain, Kem Batalion 10 PGA Sarikei (RM212.43 juta), tujuh pos PGA (Kalbar) sebanyak RM28 juta, menaik taraf Kubu Pertahanan Pos PGA Telok Melano di Lundu (RM242 juta), menaik taraf Kubu Pertahanan Pos PGA Tebedu (RM242 juta), menaik taraf Kubu Pertahanan Pos PGA Bunan Gega (RM242 juta), menaik taraf Kubu Pertahanan Pos PGA Merirai (RM236.5 juta) dan menaik taraf Kubu Pertahanan Pos PGA Long Banga, Ulu Baram (RM242.5 juta).

“Ada juga pembinaan menara tinjau di 10 pos kawalan keselamatan sempadan PGA Briged Sarawak (RM3 juta), pembinaan bangunan dan perumahan tambahan Batalion 23 PGA Sri Aman (RM205.1 juta), pembinaan pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Sarawak (RM174 juta), pembinaan tapak pendaratan dan pembuangan bahan api untuk kegunaan kawalan keselamatan sempadan (RM13.6 juta) serta perolehan tanah IPD Song (RM1 juta).

“Terima kasih kepada Kerajaan Madani di atas keprihatinan dalam mengutamakan pelaksanaan projek pembinaan IPD, balai polis dan kuarters baharu khususnya di Kontinjen Sarawak ini,” ujarnya.

PDRM, tegasnya, akan terus komited melaksanakan tanggungjawab besar yang diamanahkan dengan bukan sahaja berperanan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, tetapi juga berusaha gigih mempertingkatkan tahap kompetensi warganya dari semasa ke semasa.

“Usaha ini meliputi penambahbaikan dalam aspek penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, seiring perkembangan semasa serta harapan rakyat yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan kerajaan.

“Justeru, saya amat berharap agar seluruh warga PDRM dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik khususnya kepada masyarakat di kawasan Beladin serta sekitarnya.

“Tanggungjawab yang dipikul merangkumi peranan sebagai rakan masyarakat, mendengar, membantu, membimbing serta menjadi sumber sokongan kepada komuniti setempat.

“Semoga kita semua dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat serta menjadi manifestasi penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan profesional kepada masyarakat setempat selari dengan slogan Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” tambahnya.

Beliau turut menyentuh keperluan mewujudkan Balai Polis Pusa yang baharu pada masa akan datang memandangkan balai polis sedia ada masih menumpang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Datuk Razaili Gapor, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Jabatan Logistik dan Teknologi Siti Manau, Pesuruhjaya Polis Sarawak Komisioner Polis Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Deputi Komisioner Polis Saifullizan Ishak dan isteri Faisha Ishak serta Ketua Polis Daerah (KPD) Betong Deputi Superintendan Wan Mohamad Ali Wan Malek dan isteri Darmawaty Mohd. Najib turut hadir.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU