KUCHING: Seramai 219 orang pelajar sekolah di bawah Dun Demak Laut menerima sumbangan kelengkapan sempena Program Kembali ke Sekolah Parlimen Santubong di Kampung Tabuan Lot, hari ini.
Sumbangan tersebut disumbangkan oleh Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Santubong serta PEKEMA dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Nancy dalam ucapannya berkata, program seumpama ini diadakan bagi memastikan pelajar-pelajar bersedia untuk sesi persekolahan yang bermula Isnin nanti.
Malah katanya, dengan adanya program sedemikian, ibu bapa tidak perlu berasa bimbang akan persediaan anak-anak mereka ke sekolah.
“Marilah sama-sama menjalankan tanggungjawab ini dalam memastikan anak-anak kita pergi ke sekolah dalam keadaan yang selesa,” katanya.
Selain itu, katanya, program tersebut turut mengadakan potongan rambut percuma yang dihadiri kira-kira 300 orang pelajar.
Pada program tersebut, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong turut menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) enam penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tabuan Lot, Masjid Darul Falah Kampung Tabuan Haji Drahman dan Pesatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).





