KUCHING: Seramai 23 anak Sarawak yang bergelar warga asing di negara sendiri sebelum ini menerima taraf kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan, hari ini.
Surat kelulusan kewarganegaraan mereka disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Sri Fatimah Abdullah di Wisma Wanita, di sini.
Menurut Fatimah, kesemua penerima itu adalah antara pemohon dari Sarawak yang sudah menunggu lama taraf kewarganegaraan mereka untuk diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Justeru, Fatimah berharap agar KDN terus memberi keutamaan dalam meluluskan permohonan kewarganegaraan membabitkan anak Sarawak.
“Dalam usaha untuk memastikan semua rakyat mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan serta dapat menjalani kehidupan yang sempurna, saya berharap permohonan kewarganegaraan anak Sarawak ini diberi keutamaan,” katanya.
Fatimah berkata permohonan kewarganegaraan itu adalah dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKK) Sarawak di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan menjelaskan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan adalah khusus bagi individu yang bertaraf bukan warganegara Malaysia berumur di bawah 21 tahun sahaja.
Katanya setakat ini, sejumlah 682 permohonan sudah dibentangkan kepada KDN sejak JKK Sarawak ditubuhkan pada tahun 2016.
Namun buat masa ini, hanya 120 permohonan (63 peratus) telah menerima surat kelulusan dari KDN.
