ARTIKEL

Tertuduh diiringi keluar dari bilik mahkamah oleh pegawai JSJ.

23 anggota kumpulan jenayah terancang mengaku tidak bersalah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 23 individu yang didakwa sebagai anggota kumpulan jenayah terancang mengaku tidak bersalah apabila kes mereka disebut di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Kesemua 23 individu berusia antara 19 hingga 44 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Amelati Parnell dan Datuk Faridz Gohim Abdullah. Mereka didakwa kerana terlibat dalam sebuah kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng 24 Hung-Hung, antara Disember 2021 hingga April tahun ini, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Temaga Cina/Dayak, Sematan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daripada Mahkamah Sesyen selepas pihak pendakwaan memperoleh kebenaran menurut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Mahkamah menetapkan 23 Julai sebagai tarikh sebutan seterusnya dan memerintahkan semua tertuduh diiringi semula ke penjara sementara menunggu perbicaraan. Ikat jamin tidak diberikan kepada mana-mana tertuduh selaras dengan Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes-kes tersebut dibicarakan secara bersama. Mahkamah Tinggi yang akan mengendalikan perbicaraan bersama itu akan ditentukan pada 23 Julai.

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Mohammad Mustaffa P. Kunyalam. Kesemua 23 tertuduh diwakili peguam Patrick Voon, Ralph Lee, Daniel Ling, Tiong Ing Neng, Alex Kong, Ronbir Singh dan Datuk Shankar Ram.

Bulan lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan kumpulan jenayah terancang itu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan ganas di seluruh Sarawak menerusi operasi khas bernama Op Pusak Merah. Operasi yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu menyasarkan sindiket yang terlibat dalam jenayah seperti samun sehingga menyebabkan kecederaan, mendatangkan kecederaan parah, rusuhan bersenjata dan pemerasan.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, berkata kumpulan tersebut diketuai seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan mempunyai 26 ahli berusia antara 19 hingga 44 tahun, yang kebanyakannya merupakan pesalah berulang. Sindiket itu dilaporkan aktif sejak tahun 2020.

“Antara 19 April hingga 23 April, seramai 23 suspek tempatan telah ditahan. Kesemua mereka kini direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 18 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU