ARTIKEL

UGGAH ketika menghadiri Sesi Taklimat Ringkas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri di Bilik Mesyuarat EOC, Lapangan Terbang Miri, di sini, hari ini. FOTO: UKAS

23 titik panas dikesan di Miri, agensi bencana diarahkan bersiap sedia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Situasi cuaca panas di Bahagian Miri ketika ini berada pada tahap membimbangkan susulan pengesanan 23 titik panas yang membawa kepada larangan keras terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keadaan cuaca kering yang berlarutan bukan sahaja meningkatkan risiko jerebu, malah berpotensi mencetuskan kebakaran besar terutama di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar.

“Pembakaran terbuka perlu dielakkan sepenuhnya kerana tindakan tersebut boleh memberi kesan serius terhadap kualiti udara serta keselamatan penduduk setempat.

“Justeru, saya mengarahkan semua agensi di bawah pengurusan bencana di Bahagian Miri supaya berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan sentiasa bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Kesiapsiagaan ini penting bagi memastikan setiap insiden dapat ditangani dengan segera dan berkesan, sekali gus meminimumkan impak terhadap keselamatan penduduk serta alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sesi Taklimat Ringkas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri di Bilik Mesyuarat EOC, Lapangan Terbang Miri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) menegaskan semua aset serta peralatan operasi perlu sentiasa berada dalam keadaan baik dan sedia digerakkan apabila diperlukan.

Sesi taklimat berkenaan turut memberi fokus kepada perkembangan semasa situasi jerebu, kebakaran, bekalan air serta kesihatan di Bahagian Miri yang disampaikan oleh agensi berkaitan.

Untuk rekod, laporan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) memaklumkan sebanyak 23 titik panas telah dikesan setakat ini, dengan tujuh daripadanya sedang dalam siasatan.

Pemantauan larangan pembakaran terbuka dilaksanakan secara berterusan khususnya di kawasan paya gambut Kuala Baram sejak awal Mac lalu, selain menjalankan verifikasi titik panas di kawasan perladangan komersial bagi mengenal pasti punca kejadian.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri, Datuk Seri Lee Kim Shin dan Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri, Galong Luang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Perintah Sarawak melanja sekula anak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg datai bejadi Pengawa Nyua Pemer i Perintah Sarawak ngagai waris staf Servis L utur