ARTIKEL

Gambar hiasan. |Freepik.com

236 CEDERA AKIBAT GEMPA BUMI DI ISTANBUL

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ISTANBUL: Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Istanbul, Turkiye pada Rabu, menyebabkan sekurang-kurangnya 236 orang cedera, lapor Anadolu Ajansi.

Pusat gempa terletak di daerah Silivri, Istanbul, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Gempa berlaku pada 12.49 waktu tempatan dan dirasai di seluruh Istanbul serta wilayah-wilayah berdekatan, menyebabkan orang ramai bertempiaran lari meninggalkan bangunan.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata gempa berlaku pada kedalaman hampir 7 kilometer dan berlanjutan selama 13 saat.

Pejabat gabenor memaklumkan bahawa 236 cedera selepas terjun dari tempat tinggi akibat panik. Mereka kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Sebanyak 127 gempa susulan direkodkan setakat 5:55 petang, dengan magnitud tertinggi berukuran 5.9 pada skala Richter,” kata Yerlikaya.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim Murat Kurum berkata sebanyak 378 laporan kerosakan struktur diterima melalui talian kecemasan 112.

“Pasukan kami mengenal pasti sembilan rumah yang perlu dikosongkan,” katanya.

AFAD dalam kenyataannya memaklumkan bahawa tiada laporan kematian atau kemusnahan besar diterima setakat ini berdasarkan penilaian laporan yang diterima daripada Pusat Panggilan Kecemasan 112.

Semua agensi berkaitan dan pasukan tindak balas digerakkan, manakala penilaian sedang dijalankan bagi menilai kerosakan dan memastikan keselamatan awam.

 “Saya mengucapkan takziah dan mendoakan keselamatan semua rakyat jelata; kerajaan sedang memantau situasi secara dekat,” kata Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan ringkas. – BERNAMA-ANADOLU

BERITA LAIN

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU

Taman Kenyalang ngеna konsep moden

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng nerima penuemai basa ari diligit Chung Yuan Christian University (CYCU), Taoyuan, Taiwan, ti bejuraika asil tungkap

Standard teknikal nyamin pemujur servis

CYBERJAYA: Komiti Besai Komunikasyen enggau Multimedia Malaysia (MCMC) negap pemansang standard teknikal nentuka servis begunа baka komunikasyen, bekal kuasa karan enggau ai ulih beoperasyen likun,