SARIKEI: Seramai 25 ahli Junior Chamber International (JCI) berpeluang mengenali dengan lebih dekat kehidupan dan budaya masyarakat rumah panjang menerusi program Seri Warisan: Menyingkap Budaya Rumah Panjang di Rumah Kinchu Ajan, di sini, semalam.
Program anjuran JCI Sarikei itu disertai ahli JCI Jalan Tanjung Kidurong, JCI Kuching, JCI Seduan, JCI Sarikei, dan JCI Sibu Jaya.
Program berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Kuong Hiing berkata, program tersebut memberi peluang kepada peserta, khususnya golongan belia, untuk memahami kehidupan, adat resam, dan budaya masyarakat rumah panjang melalui pengalaman secara langsung.
“Rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, malah menjadi sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat Sarawak yang mencerminkan semangat kekeluargaan, kerjasama, saling menghormati, dan kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kepelbagaian kaum, budaya, dan adat yang menjadi keunikan Sarawak perlu terus dihargai, dipelihara, dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, interaksi secara langsung bersama komuniti rumah panjang juga membolehkan peserta memperoleh pengalaman serta pengetahuan baharu mengenai kehidupan masyarakat setempat.
“Pendekatan secara langsung ini membantu peserta memahami budaya dan kehidupan masyarakat dengan lebih menyeluruh,” jelasnya.
“Ia juga penting untuk menyemai rasa menghargai kepelbagaian budaya Sarawak serta meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab memelihara warisan,” katanya.



