BETONG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook “Ucu Lana Nangga Meluan” berhubung satu komen berunsur jelik yang membabitkan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 4 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata, sebanyak 25 laporan polis telah diterima di seluruh Sarawak terhadap pemilik akaun tersebut berkaitan komen yang dimuat naik.
“Pada jam 10.30 malam, 15 Disember lalu, seorang lelaki berusia 46 tahun telah ditahan di Jalan Laichee, Sibu bagi membantu siasatan.
“Kini, suspek direman sehingga 20 Disember ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Komen yang dimuat naik itu mengandungi unsur hasutan yang boleh membangkitkan kebencian, penghinaan dan perasaan tidak harmoni antara kaum serta masyarakat, selain berpotensi mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang sedia ada.
Sebarang penyalahgunaan media sosial yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara akan diambil tindakan tegas.
Pagi tadi, Wan Mohamad Ali turut mengetuai Program Gaya Hidup Sihat yang melibatkan larian kecergasan sejauh 2.4 kilometer serta senaman ringan bertempat di Kompleks Sukan Betong.
Program itu disertai seramai 51 warga IPD Betong bagi memupuk amalan gaya hidup sihat, meningkatkan tahap kecergasan fizikal dan mental, di samping mengeratkan silaturahim serta semangat kerjasama dalam kalangan warga IPD Betong.



