BETONG: Kira-kira 25,000 hektar tanah di kawasan Krian masih belum dapat disukat di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak (KTS) kerana masih terdapat pihak yang terpengaruh dengan dakwaan tidak benar serta hasutan pembangkang berhubung proses penyukatan tanah.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangkang terus menakut-nakutkan rakyat dengan mendakwa penyukatan di bawah Seksyen 6 KTS akan menyebabkan kerajaan merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), sedangkan dakwaan itu tidak berasas.
“Mereka menghasut rakyat supaya menolak program penyukatan tanah dengan mendakwa kerajaan akan merampas tanah NCR melalui Seksyen 6. Dakwaan itu sama sekali tidak benar.
“Sebab itulah lebih 25,000 hektar tanah di Krian masih belum dapat disukat.
“Sebaliknya, di kawasan yang rakyat memahami proses tersebut dan memberikan kerjasama, seperti di Ulu Paku, tanah telah berjaya disukat di bawah Seksyen 6,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, hari ini.
Menurut Uggah, beliau turut melihat video yang tular di TikTok memaparkan seorang pemimpin pembangkang mendakwa kononnya Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak lagi mengambil berat mengenai isu tanah selepas pindaan Kanun Tanah Sarawak diluluskan.
“Itu juga tidak benar. Mereka tidak mengetahui perkara sebenar. Lihat sahaja apa yang telah dilakukan kerajaan.
“Kerajaan terus komited mengeluarkan hak milik tanah di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 KTS.
“Di bawah pentadbiran GPS, usaha memastikan tanah NCR mendapat pengiktirafan dan hak milik diteruskan secara bersungguh-sungguh.
“Bukan sahaja peruntukan ditambah, malah jumlah pegawai dan jurukur turut dipertingkatkan bagi mempercepatkan kerja-kerja penyukatan tanah,” ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama rakyat amat penting bagi memastikan proses penyukatan tanah dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus membolehkan lebih banyak tanah NCR memperoleh pengiktirafan dan hak milik yang sah di sisi undang-undang.





