BINTULU : Peniaga kecil dan sederhana merupakan nadi ekonomi tempatan yang perlu terus diperkasa bagi menyokong kesejahteraan komuniti, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Beliau berkata, sokongan berterusan masyarakat terhadap peniaga tempatan bukan sahaja memacu ekonomi, malah memperkukuh semangat perpaduan dalam komuniti.
Membeli daripada peniaga tempatan dapat merancakkan kitaran ekonomi setempat serta membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Penganjuran Bazar Ramadan bukan sekadar platform jualan bermusim, malah menjadi medan penting memperkukuh ekonomi rakyat, khususnya dalam kalangan usahawan mikro dan peniaga kecil.

Saya tahu di sebalik setiap lot dan gerai ini, ada cerita perjuangan masing-masing, ada yang menjadikannya sumber pendapatan utama, ada juga yang menambah rezeki untuk keluarga.
“Kerana itu, saya sentiasa menekankan bahawa peniaga kecil dan sederhana adalah nadi kepada ekonomi tempatan, dan mereka wajar terus diberi sokongan,”katanya semasa berucap merasmikan Bazar Ramadan 2026 di Taman Budaya ParkCity, di sini, Jumaat petang.
Iskandar turut mengingatkan para peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan, memastikan kualiti makanan terjamin serta mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Layanan mesra, senyuman ikhlas dan harga berpatutan bukan sahaja memberi pengalaman positif kepada pelanggan, malah mampu menaikkan reputasi Bazar Ramadan di Bintulu.
Sebanyak enam tapak Bazar Ramadan melibatkan 261 lot gerai disediakan di sekitar Bintulu dan Samalaju tahun ini bagi memberi lebih banyak peluang ekonomi kepada peniaga tempatan sepanjang bulan Ramadan.

