264 notis amaran jangan merokok

KUCHING: Sebanyak 264 notis amaran dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) terhadap pengusaha premis makanan gagal meletakkan tanda “No Smoking” di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Billy Sujang berkata, pihaknya telah memeriksa 80 peratus atau 6,565 daripada 8,260 premis makanan di seluruh Sarawak.

“Hasil pemeriksaan terbabit, kita mengeluarkan 265 notis arahan di bawah Peraturan 11(1)(d) dengan jumlah tertinggi ialah di Kuching (84), diikuti oleh Miri (49), Mukah (40), Bintulu (19), Sarikei (18), Limbang (14), Samarahan (13), Sri Aman (8), Serian (7), Kapit (6), Betong (4) dan Sibu (2).

“Setakat ini, kebanyakan pengusaha premis makanan sedar dan mematuhi peraturan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memeriksa kebersihan Bazar Ramadan Stutong diketuai Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan Makanan dan Kualiti), Mohammad Jefri Crossley di sini, semalam.

Tambah Billy, sebanyak 1,668 lagi notis amaran dikeluarkan kepada individu masih merokok di premis makanan seluruh Sarawak sehingga 30 April lalu.

“Notis amaran ini dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(a) dengan 408 daripadanya di Miri, diikuti oleh Sibu (234), Kuching (209), Bintulu (197), Mukah (118), Sarikei (113), Samarahan (107), Limbang (105), Betong (91), Serian (65), Kapit (13) dan Sri Aman (9).

“Di bawah Peraturan 12(1)(b) pula, sebanyak 66 notis arahan dikeluarkan dengan di Kuching (28), Bintulu (19), Limbang (8), Samarahan (6), Miri (3) serta Bintulu dan Sarikei masing-masing satu,” jelasnya.

Katanya, tiada notis amaran di bawah peraturan terbabit di keluar di Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah dan Kapit.

“Setakat ini kita tidak mengalami sebarang masalah apabila mengeluarkan notis amaran kepada perokok yang melanggar peraturan.

“Kita mengarah penguat kuasa melakukan pemeriksaan secara mingguan sehingga penghujung bulan Mei,” ujarnya.

Katanya, selepas Mei kita akan berbincang dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan secepat mungkin untuk keputusan akhir.

Larangan merokok di premis makanan di Sarawak dikuatkuasakan 1 Mac tahun ini dengan pengeluaran notis amaran dalam tempoh enam bulan.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching Dr. Azlee Ayub.

Suara Sarawak