ARTIKEL

27 sekolah daif perlu perhatian segera di kawasan Parlimen Tanjong Manis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TANJONG MANIS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus digesa untuk memberikan perhatian lebih serius terhadap 27 sekolah rendah yang disifatkan daif di kawasan Parlimen Tanjong Manis ekoran keadaannya yang semakin merbahaya sekiranya terus digunakan.

Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir. Yusuf Abdul Wahab berharap KPM dapat menyalurkan peruntukan yang sewajarnya untuk mengatasi isu daif dengan kadar segera.

“Kami tidak pernah meminta bulan dan bintang. Cuma mengidam-idamkan segala kemudahan asas untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat dapat ditunaikan termasuk sekolah-sekolah daif.

“Di dalam senarai saya ada 27 sekolah rendah yang dikategorikan daif kerana bangunannya usang, prasarana lain dalam keadaan tidak baik serta boleh mendatangkan bahaya jika terus digunakan.

“Antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako, Kampung Bruit, Bekakong, Telok Gelam, Kampung Betanak, Sungai Selidap, Mohammad Redeh Saai, Kampung Penipah, Kampung Tekajong, Sungai Kut, Tanjung Bundung, Mupong, Abang Amin, Salah Kecil, Sungai Sentebu, Muara Payang, Abang Buyuk, Stalon, Abang Haji Matahir, Mandor Aris, Bukit Kinyau, Sarikei, Adin, Saint Andrew, Jawa, Bayang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua San Ming,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhun Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah di Dewan Rakyat, semalam.

Jelasnya, ini belum termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop di Pulau Bruit dan SMK Belawai yang memerlukan penambahbaikan kepada prasarana yang sedia ada demi meningkatkan tahap keselesaan ke aras praktikal.

“SMK Semop di Pulau Bruit memerlukan sebuah dewan dengan kadar segera selain turut mengalami masalah kekurangan bilik kelas dan asrama serta tidak mendapat bekalan elektrik 24 jam meskipun sekolah ini hanya kira-kira 150 meter dari grid bekalan elektrik. Sementara, SMK Belawai tidak mempunyai dewan perhimpunan tertutup.

“Saya yakin, keadaan sekolah daif memberi kesan negatif terhadap psikologi pelajar, guru-guru, pentadbir sekolah, mahupun ibu bapa kerana keselamatan serta keselesaan anak-anak yang tidak terjamin.

“Namun, sekiranya sekolah selamat, lengkap dan mempunyai persekitaran yang kondusif, ia menjadi motivasi untuk mereka beroleh kecemerlangan,” ujarnya.

Yusuf memohon KPM memandang serius permasalahan tersebut untuk memastikan prestasi pendidikan anak-anak Tanjong Manis tidak terjejas selain berharap kerajaan menyalur lebih banyak peruntukan yang akan memudahkan aktiviti dijalankan.

Dalam isu berkaitan, beliau turut membangkitkan isu capaian internet yang masih lemah.

“Jika seorang pelajar di Sabah perlu memanjat pokok untuk mendapat capaian internet, penduduk di beberapa kampung dan rumah panjang di kawasan Tanjong Manis perlu ke hujung jeti atau menggantung telefon pintar di jendela sekadar untuk mendapat liputan 2G setiap kali liputan terganggu.

“Apa yang berlaku di kawasan saya seperti kampung Paloh, Berangan dan seluruh Pulau Bruit terutama sekali di kawasan utara pulau, kawasan Mupong, Semaring dan beberapa kawasan di Sare sememangnya ada, tetapi capaian itu sangat lemah dan berkala.

“Jadi, sekiranya capaian internet meluas dan stabil, kemenjadian anak-anak akan menjadi lebih baik, keselesaan hidup juga terjamin, ekonomi rakyat juga meningkat dan lebih maju.

“Justeru, saya memohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia membantu Kerajaan Sarawak untuk menyediakan liputan rangkaian telekomunikasi dan internet yang lebih meluas,” jelasnya.

Antara lain menurut Yusuf lagi, kerajaan diminta untuk melengkapkan jaringan perhubungan (jalan dan jambatan) seperti di Kampung Paloh, Kedang dan penempatan rumah panjang Berangan agar ia dapat bersambung dengan Jalan Tanjong Manis dan rangkaian Jalan Pesisir Sarawak dalam kadar segera.

“Begitu juga di Bukit Kinyau, kawasan Parit Bugis, Semaring, Mupong dan Teluk Gelam.

“Bagi isu air pula, saya memohon peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk membekalkan air terawat ke kawasan Mupong, Teluk Gelam, Semaring, Sungai Sian, Muara Payang, Sare, Bukit Kinyau, dan Stalun selain menyelesaikan kekurangan sumber air mentah di di utara Pulau Bruit,” tambahnya.

Beliau antara lain menarik perhatian kerajaan untuk membina sebuah Balai Polis di kawasan strategik di Pulau Bruit.

Katanya, Kerajaan Sarawak sedia berbincang untuk menyediakan sebidang tanah di kawasan RGC Semop bagi tujuan tersebut dan sebidang lagi untuk Balai Bomba dan Penyelamat.

LAIN-LAIN BERITA

Lelaki maut, jatuh Jambatan Batang Salak

KUCHING: Seorang lelaki menemui ajal selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Batang Salak, Jalan FAC di sini, hari ini. Komander Operasi PBK II

Sasar latih 10,000 rakyat Sarawak secara percuma

KUCHING: Kementerian Sumber Manusia mensasarkan melatih seramai 10,000 rakyat Sarawak secara percuma dalam pelbagai jenis kursus sempena Minggu Latihan Kebangsaan yang akan bermula dari 24

BERITA TERBARU

Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). Kementerian