MIRI: Ekspo Pemerkasaan Belia Pribumi Miri 2025 telah menjadi pemacu utama bagi Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) untuk memperluas program ke lokasi lain, sekali gus mengukuhkan agenda memperkasa generasi muda pribumi di negeri ini.
Pengerusi PERANTIS, Spancer Biondy Raymond Ramba, menyatakan bahawa program yang berlangsung di Stadium Bandaraya Miri pada Sabtu lalu menarik penyertaan seramai 2,858 pelajar dan belia dari Miri, serta kawasan Limbang, Lawas, Marudi, Subis, dan Bintulu.
“Ekspo ini selari dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 yang memberi fokus kepada penyediaan peluang praktikal, relevan, dan inovatif kepada belia.
“Antara pengisian utama termasuk bengkel seni kulinari, pertandingan pelaburan dan perdagangan, e-sukan, serta reruai kaunseling kerjaya dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa program tersebut membantu lepasan sekolah membuat keputusan tepat mengenai laluan pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian dengan minat dan keperluan semasa.
“Ekspo ini juga memastikan pelajar dari luar bandar dan pinggir bandar tidak tercicir dalam menerima akses maklumat mengenai peluang pendidikan dan latihan kemahiran di negeri ini,” ujarnya.
Spancer menambah bahawa pendekatan inklusif dan menyeluruh adalah penting dalam usaha memperkasa belia agar bersedia menyumbang dalam sektor strategik seperti pelancongan, pemasaran digital, budaya, dan ekonomi wilayah.
“Kami percaya dalam pendekatan holistik terhadap pendidikan—yang melangkaui aspek akademik, merangkumi kemahiran teknikal, pembangunan sahsiah, dan celik digital.
“Kita perlu memastikan setiap belia, tanpa mengira latar belakang, mempunyai peluang untuk memperbaiki masa depan mereka melalui akses kepada pendidikan dan kemahiran yang betul,” tambah beliau lagi.
Ekspo ini merupakan inisiatif bersama antara PERANTIS, Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD), Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sarawak, dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.219 Miri.





