DEBAK: Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Saribas 2026 kembali mencuri tumpuan apabila sebanyak 29 pasukan menyertai kejohanan yang berlangsung di Padang Riveria Debak.
Aksi pembukaan kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, yang juga ADUN Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam.
Edisi kali ini menyaksikan 16 pasukan berentap dalam kategori terbuka, manakala 13 pasukan lagi bersaing dalam kategori veteran.

Lebih menarik, Padang Riveria Debak kini dilengkapi kemudahan lampu limpah yang membolehkan perlawanan berlangsung pada sebelah malam.
“Saya percaya ramai yang ternanti-nanti penganjuran Piala Saribas.
“Jadi, Alhamdulillah, menerusi Kelab Frenz FT dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Saribas, kita bawakan yang terbaik untuk peminat bola sepak,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan sukan bola sepak di Saribas.
Menurutnya, selain mencungkil bakat dan memberi ruang kepada pemain untuk beraksi secara kompetitif, kejohanan berkenaan turut menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif.
Pada masa sama, katanya, aktiviti sukan mampu memupuk semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama berpasukan, selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat di Saribas.



